mutakhir

Pembekal kenakan caj, peniaga pun terpaksa tambah caj [METROTV]

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Kos penghantaran bahan mentah yang meningkat menyebabkan peniaga terpaksa mengenakan caj perkhidmatan RM1.90 kepada pembeli bagi setiap sekilogram ayam yang dijual.

Peniaga ayam di Pasar Awam Bayan Baru di sini, Mohd Fauzi Haris, 55, berkata sebelum ini caj dikenakan RM1.60 bagi setiap kilogram tetapi terpaksa dinaikkan 30 sen minggu lalu kerana terpaksa menanggung kos penghantaran yang dikenakan pembekal.

"Ayam dijual mengikut harga kawalan RM9.40 sekilogram namun itu adalah harga modal.

"Ada yang mendakwa caj itu tidak masuk akal, tetapi pembeli juga perlu faham bahawa kami terpaksa menanggung kerugian selain tertekan dengan harga yang ditetapkan penternak dan pembekal.

"Isu ini sudah lama. Jangan hanya tunding jari kepada sebelah pihak sahaja, sebaiknya perlu ditangani di pelbagai peringkat," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, peniaga ayam di Pasar Awam Pulau Tikus, Abd Rahim Abdul Rahman, berkata kebanyakan peniaga menghadapi masalah sama.

Katanya, dia turut mengenakan caj perkhidmatan mengikut kadar kenaikan semasa seperti yang dikenakan pembekal.

"Misalnya pada 14 Februari lalu, kos penghantaran yang dikenakan pembekal ialah sebanyak 70 sen bagi setiap sekilogram ayam.

"Namun empat hari kemudian, caj yang dikenakan ialah RM1 dan bermakna ia meningkat sebanyak 30 sen dalam masa empat hari.

"Jadi berapa harga ayam yang kami perlu jual? Jika jual ikut harga yang ditetapkan semata-mata, macam mana hendak untung?" katanya.

Menurut Abd Rahim, berikutan Ramadan dan musim perayaan yang bakal menjelang, harga ayam juga dijangka meningkat.

Tinjauan Harian Metro mendapati, kebanyakan peniaga sudah meletakkan tanda harga yang memaklumkan bahawa terdapat caj perkhidmatan bagi setiap pembelian.

Disiarkan pada: February 21, 2023 @ 3:23pm
d