mutakhir

Pulau peranginan Terengganu buka minggu depan

Oleh Zaid Salim

Kuala Terengganu: Semua pulau peranginan di negeri ini akan kembali rancak Mac ini selepas tiga bulan 'sepi' berikutan Monsun Timur Laut (MTL).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, pengusaha resort, hotel dan chalet sudah bersedia menerima kemasukan pelancong apabila ia dibuka berperingkat mulai minggu depan.

"Sebenarnya, operasi resort, chalet atau hotel di pulau pada musim MTL terpulang kepada pengusaha kerana tidak ada arahan khusus yang dibuat kerajaan negeri supaya menutup operasi (di pulau) pada musim berkenaan.

"Ada pengusaha pelancongan yang masih meneruskan operasi mereka tetapi ia bergantung kepada keadaan cuaca dan kita selalu mengingatkan agar mereka mengutamakan aspek keselamatan pelancong," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media penganjuran Karnival Beautiful Terengganu Malaysia (KBTM) 2023 di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini, hari ini.

Mengenai KBTM, Ariffin berkata, lebih 100,000 pengunjung dijangka menghadiri karnival itu yang akan berlangsung selama empat hari di Padang Astaka, Kemaman bermula Khamis ini.

Katanya, fokus utama KBTM adalah jualan pakej percutian pada kadar harga yang sangat berpatutan untuk memberi peluang kepada lebih ramai pelancong meneroka keindahan dan keunikan Terengganu.

"KBTM adalah satu daripada 17 acara ikonik yang disenaraikan dalam kalendar pelancongan Terengganu 2023. Ia akan menjadi acara permulaan yang akan merancakkan kembali industri pelancongan di negeri ini.

"Ini adalah tahun kedua penganjuran KBTM dan sambutan dijangka lebih hangat berbanding tahun lepas," katanya.

Disiarkan pada: February 21, 2023 @ 4:28pm
d