mutakhir

MCWC23 cuba cipta rekod dalam Guinness World Records

Oleh Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Kuala Lumpur: Piala Dunia Kulinari 2023 (MCWC23) yang juga pertandingan memasak terbesar di dunia membuka tirai di Pusat Dagangan Dunia Kuala (WTCKL), di sini, hari ini.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, penganjuran acara perdana itu akan mendedahkan pelbagai juadah tempatan di mata dunia.

Menurutnya, pendedahan itu diharap dapat memacu peningkatan dalam sektor pelancongan negara sebagai salah satu destinasi pelancongan kulinari antarabangsa.

"Julung kali kita diberikan kesempatan untuk menganjurkan program ini, antara yang hadir adalah chef terkemuka dari serata dunia.

"Kita tahu Malaysia menyediakan pelbagai jenis makanan dan hidangan luar biasa namun kurang dikenali masyarakat luar terutama pelancong," katanya ketika ditemui selepas merasmikan acara itu, di sini, hari ini.

Sementara itu, penganjur, Malaysia Bersatu Culinary Association (MBCA) berkata, antara matlamat utama MCWC23 adalah untuk diiktiraf sebagai pertandingan memasak paling ramai dari pihak Guinness World Records.

Pertandingan yang berlangsung selama tiga hari itu disertai oleh 650 tukang masak dari dalam dan luar negara yang mengambil bahagian dalam sembilan kategori utama dan 62 sub kategori antaranya, nasi lemak, ikan sungai, laksa, burger dan masakan cina.

Mengulas lanjut, Khairul Firdaus berkata, dalam usaha merancakkan sektor pelancongan, pihak kementerian sentiasa mencari ruang untuk menganjurkan program seumpama itu yang mampu menarik pelancong asing.

Katanya, kementerian tidak menolak kemungkinan untuk mengembangkan lagi penganjuran acara MCWC23 ke negeri lain di masa hadapan.

"Sememangnya program seperti ini ada dalam perancangan pihak kementerian kerana kita tahu pasarannya besar dan kalau tidak dikembangkan takut ketinggalan berbanding negara lain.

"Setiap promosi akan dijalankan oleh pihak Tourism Malaysia dan bekerjasama rapat dengan pihak kementerian," katanya.

Disiarkan pada: February 21, 2023 @ 5:20pm
d