mutakhir

Jana Wibawa: Kontraktor, ahli perniagaan akan didakwa esok

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mendakwa seorang kontraktor tempatan berhubung projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa), atas pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor, esok.

Difahamkan individu itu berdepan dengan sekurang-kurangnya sembilan pertuduhan meminta dan menerima rasuah daripada kontraktor yang memperoleh kerja-kerja pembinaan di bawah projek Jana Wibawa.

Sumber berkata, individu itu dikatakan meminta suapan 10 peratus membabitkan RM10 juta daripada nilai dua projek binaan yang diperoleh oleh dua syarikat.

Sementara itu, SPRM memaklumkan, seorang ahli perniagaan turut akan didakwa di mahkamah di Shah Alam, Selangor, esok berhubung projek Jana Wibawa.

Program Jana Wibawa diperkenalkan ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan objektif mempercepatkan pelaksanaan projek dan meningkatkan ekonomi negara semasa pandemik Covid-19.

Hari ini, Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan dan ahli perniagaan, Adam Radlan Adam Muhammad dituduh meminta dan menerima rasuah berkaitan Program Jana Wibawa di Mahkamah Sesyen, di sini.

Wan Saiful didakwa dengan dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM6.9 juta sebagai habuan membantu sebuah syarikat memperoleh projek membina Lebuhraya Lingkaran Tengah bernilai RM232 juta.

Sementara itu, Adam Radlan yang juga Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut didakwa dengan dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM500,000 sebagai sebahagian daripada 3.5 hingga tujuh peratus suapan bagi projek membina jalan bernilai RM47.8 juta di Perlis.

Disiarkan pada: February 21, 2023 @ 6:16pm
d