mutakhir

Remaja warga Bangladesh ditemui dalam kontena dihantar pulang

Oleh Samadi Ahmad

Sepang: Remaja warga Bangladesh yang ditemui dalam kontena di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, Selangor, 17 Januari lalu, dihantar pulang, hari ini.

Remaja bernama MD Ratul Islam Fahim, 16, akan berlepas ke Dhaka pada 7.45 malam ditemani wakil kedutaan Bangladesh di Malaysia untuk diserahkan semula kepada keluarganya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan memberi pertimbangan mangsa adalah seorang remaja yang perlu diberikan perlindungan sewajarnya kerana kepentingan menjaga nyawa menjadi keutamaan kerajaan

"Siasatan mendapati remaja ini tidak terbabit dengan sebarang kes penyeludupan manusia dan sebagai menteri yang mempunyai kuasa saya berhak meminda akta Seksyen 55 Akta Imigresen 1959 (Akta 115) bagi kes kanak-kanak ini.

"Seksyen ini memberi kuasa kepada menteri untuk membuat pengecualian yang lazimnya sekiranya terdapat warga asing masuk ke negara ini tanpa dokumen pengenalan diri akan ditempatkan di depoh Imigresen," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini (KLIA) hari ini.

Pada 19 Januari lalu media melaporlan seorang remaja ini dijumpai berada dalam sebuah kontena dilaporkan berlepas dari sebuah pelabuhan di Bangladesh pada 13 Januari lalu.

Menurutnya, adalah satu keajaiban remaja ini selamat selepas berhari-hari terperangkap dalam kontena yang belayar dari negaranya.

Saifuddin berkata, pihaknya mengambil pertimbangan kemanusiaan bagi menyelamatkan nyawa kanak-kanak itu dengan menghantar terus ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

Selepas sembuh, katanya, remaja itu ia diletakkan di bawah jagaan Yayasan Chow Kit atas kelolaan Datuk Dr Hartini Zainuddin bermula 26 Januari lalu bagi menyediakan dokumen perjalanan pulang.

"Dalam tempoh itu, saya juga ada mengadakan lawatan rasmi kerja ke Bangladesh bagi membincangkan soal tenaga kerja dengan kerajaan di sana dan sempat bertemu dengan Menteri Dalam Negeri Bangladesh serta memaklumkan akan menghantar pulang remaja terbabit.

"Kita permudahkan penghantaran pulang remaja ini dengan menyediakan tiket penerbangan dan ditemani pegawai kedutaan Bangladesh di Malaysia bagi memastikan dia selamat sampai serta bertemu dengan keluarga di Dhaka," katanya.

Disiarkan pada: February 21, 2023 @ 7:54pm
d