mutakhir

Perkeso beri sinar pada Jancey Rani [METROTV]

Oleh BERNAMA

Klang: Seorang wanita yang kemurungan teruk disebabkan kaki kirinya dipotong akibat penyakit kencing manis tahun lalu, kembali mengukir senyuman selepas menerima bantuan kaki palsu dan rawatan pemulihan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

R. Jancey Rani, 43, berkata, beliau bagaikan dilahirkan semula apabila dibantu Perkeso untuk meneruskan kehidupan sehariannya.

"Sebelum ini saya seperti hilang arah, lebih dua bulan saya berkurung dalam bilik dan langsung tidak mahu bertemu sesiapa akibat depresi yang teruk sehingga hampir membunuh diri.

"Saya terpaksa bergantung kepada keluarga, mengharapkan bantuan emak untuk tolak kerusi roda setiap kali dapatkan rawatan di hospital. Saya juga tiada upaya untuk kembali bekerja," katanya kepada pemberita selepas penyampaian peralatan sokongan pemulihan kepada orang berinsurans Perkeso, di kediamannya di sini hari ini.

Bantuan itu disampaikan Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar, yang turut dihadiri Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) Perkeso John Riba Marin.

Selain bantuan kaki palsu dan rawatan pemulihan di Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak di Melaka, wanita itu turut menerima kerusi roda serta surat tawaran bagi penyertaan dalam program 'Return To Work' .

Jancey Rani berkata, beliau tidak sabar mahu menjalani rawatan pemulihan di Melaka kerana ingin kembali sihat untuk bekerja semula.

"Saya dahulu seorang yang aktif dan mempunyai kerja tetap, tetapi selepas terpaksa diamputasi (dipotong) sehingga paras bawah lutut saya tidak lagi bekerja.

"Hari ini saya menerima kaki palsu yang baharu dan selesa, kemudian menjalani rawatan rehabilitasi di Melaka selama enam bulan dalam masa terdekat.

"Semua itu memberikan suntikan semangat baharu untuk saya kembali bekerja selepas menjalani rawatan," kata anak sulung daripada lima beradik itu.

Sementara itu, Sivakumar menggalakkan orang ramai mencarum dengan Perkeso selain perlu lebih peka dengan bantuan yang ditawarkan pertubuhan itu.

"Saya bersyukur apabila Jancey Rani menerima bantuan daripada Perkeso dan kembali bersemangat serta mengucapkan syabas kepada bekas majikannya, yang bersedia untuk menerimanya kembali bekerja setelah selesai menjalani rawatan rehabilitasi di Melaka.

"Inilah sebenarnya faedah kepada orang yang mencarum dengan Perkeso. Pekerja akan dibantu ketika mereka ditimpa kesusahan selain memperbaiki kualiti kehidupan dan aktif semula dalam kehidupan bermasyarakat," katanya.

Disiarkan pada: February 21, 2023 @ 9:00pm
d