mutakhir

Teliti dokumen pemberian kontrak NIISe sebelum ambil tindakan lanjut

Oleh Samadi Ahmad

Sepang: Kerajaan akan meneliti secara terperinci dokumen berkaitan pemberian kontrak Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) sebelum mengambil sebarang tindakan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau sudah diberikan taklimat ringkas mengenai projek yang diraih oleh syarikat teknologi Iris Corporation Bhd (Iris Corp), didakwa berkait rapatdengan menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, isu ini timbul apabila media melaporkan ada pelupusan sejumlah kepentingan kepada sebuah syarikat.

"Tujuan saya mengadakan taklimat itu bertujuan mengetahui sama ada praktis korporat itu mematuhi terma dalam kontrak yang ditandatangani antara subsidiari Iris dengan kerajaan," katanya kepada media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Pada 10 Februari lalu, Iris Corp telah memeterai perjanjian penjualan saham (SSA) dengan Tass Tech Technologies Sdn Bhd (Tass Tech) membabitkan pelupusan 80 peratus kepentingan ekuiti dalam unitnya, Iris Information Technology Systems Sdn Bhd (IITS) berjumlah RM70 juta.

IITS adalah pemaju NIISe yang dikatakan bakal menggantikan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMS) yang diguna pakai oleh jabatan itu sejak 13 tahun lalu.

Ditanya sama ada isu berkenaan memerlukan campur tangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Saifuddin berkata, buat masa ini beliau masih memerlukan waktu untuk meneliti selain akan membentangkan kepada Jemaah Menteri, Jumaat ini.

"Ketika itu, beri saya ruang meneliti terlebih dahulu bagaimana Iris mendapat projek, apakah ia memerlukan satu langkah seterusnya daripada pihak SPRM," katanya.

Disiarkan pada: February 21, 2023 @ 9:32pm
d