mutakhir

3 suspek bunuh dan campak lelaki dalam tasik belakang masjid didakwa Khamis

Oleh Samadi Ahmad

Cyberjaya: Tiga lelaki warga Bangladesh yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam pembunuhan lelaki tempatan sebelum mencampak mayat ke dalam tasik di belakang Masjid Raja Haji Fisabilillah, di sini, 12 Februari lalu akan didakwa di Mahkamah Sepang, Khamis ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Md Noor Aehwan Mohammad berkata, polis sudah mendapat arahan daripada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk menuduh ketiga-tiga suspek masing-masing berusia 23, 41 dan 52 tahun.

Menurutnya, sebelum ini kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 13 hingga 19 Februari lalu bagi membantu siasatan.

Katanya, kertas siasatan sudah dilengkapkan dan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Selangor pada Selasa.

"Selepas memperhalusi laporan lengkap siasatan kes, TPR mengarahkan agar ketiga-tiga suspek dituduh Khamis ini," katanya hari ini.

Pada 13 Februari lalu media melaporkan, mayat seorang lelaki ditemui terapung dalam sebuah tasik di belakang Masjid Raja Haji Fisabilillah bersama sebuah pacuan empat roda.

Susulan kejadian itu polis menahan tiga warga Bangladesh yang bekerja di sebuah kandang lembu di Puchong dan seorang wanita India warga tempatan berusia 20-an dan kes dipercayai akibat berebut wanita.

Noor Aehwan berkata, suspek pertama dan kedua akan dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, suspek pertama dan kedua bersama dengan suspek ketiga berusia 52 tahun akan turut didakwa di bawah Seksyen 15 (1) dan 6(1) di bawah Akta Imigresen 1959/63 di mahkamah sama.

Katanya, suspek keempat iaitu seorang wanita tempatan yang menjadi rebutan akan dijadikan saksi pendakwaan.

Disiarkan pada: February 21, 2023 @ 10:00pm
d