mutakhir

31 individu didakwa jadi keldai akaun

Oleh Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Petaling Jaya: Seramai 31 individu ditahan dipercayai menjadi 'keldai akaun' bagi sindiket penipuan di daerah ini sejak awal Januari sehingga kelmarin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, dalam tempoh itu, pihaknya membuka 29 kertas siasatan, membabitkan kerugian berjumlah RM2.82 juta.

Katanya, sindiket menyasarkan individu terdesak dan menawarkan antara 'upah' RM200 ke RM2,000 bagi setiap transaksi, yang membuatkan pemilik akaun sanggup menyerahkan kad pengeluaran wang automatik (ATM) dan nombor pin kepada penjenayah.

"Modus operandi sindiket untuk mendapatkan akaun adalah menerusi tawaran iklan di media sosial atau melalui rakan-rakan dengan jumlah bayaran tertentu.

"Alasan yang biasa digunakan adalah untuk tujuan perniagaan, atau untuk ahli keluarga memasukkan wang kerana tiada akaun bank sendiri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Fakhrudin berkata, ada juga individu menjadi mangsa yang mana akaun mereka dipergunakan sindiket penipuan terbabit selepas kehilangan kad ATM persendirian milik mereka.

"Mereka yang menjadi mangsa ini kebiasaannya kehilangan kad ATM dan laporan polis akan dibuat untuk melindungi diri mereka.

"Manakala, individu yang bersubahat biasanya akaun keldai yang dimiliki mempunyai hubungan dengan sindiket terbabit," katanya.

Menurutnya, kesemua individu berkenaan sudah dituduh di mahkamah, mengikut Seksyen 424 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman penjara, denda atau kedua-dua sekali.

"Orang ramai dinasihatkan supaya segera membuat laporan jika kehilangan apa sahaja dokumen pengenalan diri bagi mengelakkan daripada digunakan oleh sindiket untuk aktiviti haram.

"Elakkan juga daripada membenarkan individu lain menggunakan akaun peribadi tanpa menyiasat kesahihan alasan yang diberikan bagi mengelak menjadi keldai akaun," katanya.

Disiarkan pada: February 22, 2023 @ 12:29pm
d