mutakhir

Rugi RM200,000, rumah diubahsuai kontraktor warga asing [METROTV]

Oleh Nur Izzati Mohamad

Nibong Tebal: Seorang pemilik rumah teres dua tingkat di Jawi, di sini berdepan kerugian kira-kira RM200,000 akibat menggunakan khidmat kontraktor warga asing bagi mengubahsuai kediaman yang baru dibelinya.

Ia selepas Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) yang menjalankan operasi dekat situ mengarahkan kerja-kerja pengubahsuaian rumah berkenaan dihentikan dengan meminta pemilik mencari kontraktor warga tempatan selaras dengan peraturan yang ditetapkan.

Selain rumah terbabit, dua lagi kediaman lain yang sedang diubahsuai turut menerima nasib sama berikutan pelbagai kesalahan dilakukan dengan keseluruhannya sebanyak sembilan notis dikeluarkan CIDB ketika menjalankan operasi berkenaan bersama Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), bermula jam 10 pagi tadi.

Pengarah CIDB negeri, Zahidi Hashim, berkata pihaknya menyarankan pemilik rumah yang ingin menjalankan kerja mengubahsuai kediaman melantik kontraktor berdaftar dengan agensi itu bagi mengelak diri mereka berdepan risiko kerugian.

"Seperti dalam operasi hari ini, kita membuka kertas siasatan selepas mengesan kesalahan antaranya tidak memiliki Perakuan Pendaftaran Kontraktor (PPK), PPK tamat tempoh dan melantik kontraktor warga asing yang ia menyebabkan kerja-kerja pengubahsuaian perlu dihentikan.

"Ini adalah satu kerugian kepada pemilik apabila kerja-kerja mengubahsuai rumah mereka tergendala, terutamanya yang menggunakan khidmat kontraktor warga asing yang ia menyalahi peraturan.

"Bagi hal ini (guna khidmat kontraktor warga asing) pemilik rumah perlu melantik kontraktor baharu yang risiko kerugiannya adalah lebih besar apabila perlu membayar kos tambahan," katanya pada sidang media selepas tamat operasi berkenaan, di sini, hari ini.

Zahidi berkata, kesemua notis yang dikeluarkan dalam operasi itu mengikut Seksyen 25(1) Akta Lembaga Industri Pembinaan Malaysia 1994 (Pindaan) 2011.

Katanya, mana-mana individu yang melanggar peraturan yang ditetapkan iaitu tetap meneruskan kerja-kerja pengubahsuaian boleh dikenakan kompaun maksimum sehingga RM100,000.

Mengulas lanjut, Zahidi berkata, pihaknya amat menitikberatkan pemilik rumah supaya memilih kontraktor berdaftar bagi mengelak isu tidak diingini di kemudian hari.

"Sebagai contoh, sekiranya kerja-kerja ubahsuai dijalankan sudah siap mengalami kerosakan dan mereka (pemilik) ingin membuat aduan kepada pihak CIDB, kami tidak boleh mengambil sebarang tindakan kerana kontraktor yang digunakan pemilik tidak berdaftar," katanya.

Sehingga kini, terdapat seramai 6,250 kontraktor berdaftar yang aktif di negeri ini.

Disiarkan pada: February 22, 2023 @ 3:05pm
d