mutakhir

Tiada bukti Tengku Maimun 'benci' Najib [METROTV]

Oleh BERNAMA

Putrajaya: Mahkamah Persekutuan di sini, tadi, diberitahu hantaran Facebook (FB) suami Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada 2018 tidak menunjukkan beliau mempunyai permusuhan peribadi terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak, tetapi sebaliknya komen umum mengenai rakyat di media sosial.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Datuk V Sithambaram, berkata ini kerana hantaran itu adalah ulasan peribadi semata-mata mengenai senario politik yang membawa kepada keputusan Pilihan Raya Umum ke-14.

"Tiada kaitan antara hantaran itu yang disiarkan pada 11 Mei 2018 dengan rayuan Najib di hadapan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos tahun lalu.

Adalah sukar dipercayai bahawa pemohon (Najib) hanya menyedari mengenai hantaran FB ini pada 22 Ogos tahun lalu iaitu beberapa jam sebelum pendengaran rayuan pada 23 Ogos tahun lalu.

"Pemfailan permohonan penarikan diri (Ketua Hakim Negara) adalah percubaan terakhir yang terdesak untuk tidak meneruskan pendengaran rayuan. Kebetulan luar biasa apabila pemohon mendapat tahu daripada hantaran FB awam beberapa jam sebelum tamat pendengaran rayuan pada 23 Ogos tahun lalu.

"Yang Arif, sebenarnya mereka tahu mengenai hantaran itu, tetapi mendapati ia tidak layak untuk permohonan menarik diri sebelum itu. Permohonan dalam tempoh 11 jam itu adalah usaha terdesak semata-mata untuk menangguhkan rayuan," tegasnya.

Berhubung pelantikan firma Tetuan Zaid Ibrahim Suflan Th Liew (ZIST), DPP itu berkata tujuan utama kes SRC International dikendalikan oleh firma terbabit pada tahun lalu adalah bagi memohon penangguhan.

Sithambaram berkata, firma itu tidak sepatutnya mengambil alih kes itu daripada Tetuan Shafee & Co jika mereka tidak bersedia untuk meneruskan rayuan pada tarikh yang ditetapkan bagi pendengaran itu pada Ogos 2022.

"Tetuan ZIST mengambil alih kes itu dengan tujuan semata-mata untuk meminta penangguhan kes. Perlu diingat bahawa tarikh pendengaran rayuan utama ditetapkan empat bulan lebih awal atas permintaan peguam cara pemohon, Tetuan Shafee & Co.

"Walaupun Najib mempunyai hak untuk melantik peguam cara pilihannya, ia harus dilakukan lebih awal agar tidak mengganggu tarikh pendengaran yang telah ditetapkan empat bulan lebih awal dengan persetujuan semua pihak," katanya sambil menambah tindakan peguam cara atau peguam pemohon tidak boleh dibiarkan kerana jika sebaliknya, ia bermakna penangguhan sentiasa boleh diperoleh oleh peguam cara atau peguam baharu yang mengambil alih kes-kes pendengaran yang ditetapkan.

Menjelaskan tindakan bekas peguam Najib, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang melepaskan dirinya daripada mewakili bekas perdana menteri itu, timbalan pendakwa raya menegaskan Mahkamah Persekutuan mempunyai budi bicara sama ada untuk membenarkan peguam menarik diri, terutama di tengah-tengah perbicaraan.

Disiarkan pada: February 22, 2023 @ 4:19pm
d