mutakhir

Tiga lelaki ditahan, baling mercun ke rumah penduduk

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

Tanah Merah: Tiga lelaki yang membaling mercun ke sebuah rumah penduduk di Kampung Felda Kemahang 3, di sini, Jumaat lalu ditahan polis.

Ketiga-tiga suspek berusia antara 19 hingga 41 tahun ditahan di tiga rumah berasingan di Felda Kemahang 3, antara jam 4 petang hingga 10.45 malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd Haki Hasbullah berkata, terdahulu pihaknya menerima satu laporan berhubung bunyi letupan dipercayai mercun jam 3.16 pagi Jumaat lalu.

Katanya, berdasarkan laporan, pengadu terdengar bunyi orang berjalan di luar rumah yang disyaki melebihi dua orang, kemudian terdengar bunyi dua letupan yang kuat di hadapan rumah.

"Siasatan polis di lokasi menjumpai serpihan besi yang disyaki komponen bahan letupan buatan sendiri. Serpihan yang dipercayai besi itu dihantar ke Unit Forensik untuk dianalisa.

"Bertindak atas maklumat yang diperolehi, pada jam 4 petang kelmarin, sepasukan pegawai dan anggota membuat tiga serbuan di tiga rumah berasingan di Felda Kemahang 3," katanya menerusi kenyataan media di sini hari ini.

Beliau berkata, dalam serbuan pertama berlaku pergelutan di antara polis dan suspek sebelum lelaki itu berjaya ditahan dan hasil pemeriksaan menemui satu tiub straw lut sinar berisi 12 biji pil disyaki dadah jenis yaba.

"Hasil pemeriksaan polis terhadap dua lagi rumah berjaya menahan dua suspek dan kita turut merampas empat paket mercun bola, satu paket lut sinar yang disyaki berisi sumbu bersama satu plastik serbuk belerang.

"Barang rampasan berkenaan disembunyikan di dalam sebuah almari. Hasil soal siasat, ketiga-tiga suspek mengaku membaling mercun di sebuah rumah pada Jumaat lalu.

"Ujian air kencing juga mendapati dua daripada suspek berkenaan positif methamphetamine dan mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.

Mohd Haki berkata, kesemua suspek direman empat hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Disiarkan pada: February 23, 2023 @ 4:01pm
d