mutakhir

Belanjawan 2023: Kemakmuran dikecapi 2022 pacu daya tahan ekonomi negara 2023

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Kesejahteraan yang dikecapi Malaysia pada tahun 2022 dengan hasil yang jauh lebih tinggi susulan pertumbuhan ekonomi memberangsangkan menjadi pemangkin kepada kerajaan memperuntukkan jumlah yang lebih besar dalam Belanjawan 2023, bagi memastikan ekonomi negara mampu mengharungi cabaran luar.

Justeru, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membentangkan Belanjawan 2023 itu di Dewan Rakyat hari ini, mengumumkan peruntukan sejumlah RM388.1 bilion, meningkat daripada RM372.3 bilion yang dibentangkan pada Oktober 2022.

Sejumlah RM289.1 bilion diperuntukkan untuk belanja mengurus dan RM99 bilion bagi belanja pembangunan, termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka, katanya.

Selaras dasar fiskal mengembang, peruntukan pembangunan ditingkatkan kepada RM97 bilion ketimbang (berbanding) RM71.6 bilion tahun lalu.

"Peningkatan ini adalah untuk menumpukan program membasmi kemiskinan, baik pulih prasarana awam dan kemudahan desa.

"Dengan pembaharuan tatacara perolehan kerajaan, akan dipastikan perbelanjaan tambahan ini dimanfaatkan sepenuhnya untuk kepentingan rakyat," kata Perdana Menteri.

Anwar berkata, Belanjawan 2023 bertema ''Membangun Malaysia MADANI" itu adalah cerminan prinsip pertanggungjawaban dan sistem nilai yang luhur yang mampu mendepani tantangan semasa termasuk tantangan ekonomi global yang sarat dengan ketidaktentuan.

Disiarkan pada: February 24, 2023 @ 4:35pm
d