mutakhir

Belanjawan 2023: Kerajaan sasar 1 Dun, 1 PEDi

Oleh Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Kerajaan akan mempercepat pelaksanaan projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) sebagai usaha nasional menyediakan kemudahan jaringan Internet.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagi tahun ini, RM725 juta disediakan bagi melaksanakan ketersambungan digital di 47 kawasan pengindustrian dan hampir 3,700 sekolah.

"Pentadbiran lalu sudah menerajui initiatif 5G melalui Digital Nasional Berhad (DNB), pada akhir 2022, DNB mencapai 50 peratus liputan kawasan berpenduduk dan disasarkan akan mencapai 80 peratus liputan menjelang penghujung tahun ini.

"Kerajaan Perpaduan kini mengambil pendekatan supaya DNB diuruskan dengan lebih telus dan terangkum supaya mencapai penyertaan penuh oleh pihak penyedia perkhidmatan telekomunikasi.

"Akhirnya, apa yang mustahak adalah untuk mencapai liputan 5G yang menyeluruh dan pada harga yang berpatutan untuk rakyat.

Beliau berkata, perniagaan rakyat juga harus segera beradaptasi dengan teknologi digital supaya boleh meluaskan pasaran produk dan perkhidmatan mereka.

Katanya, kerajaan akan memperkasa peranan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) untuk membantu peniaga kecil dengan pengetahuan ICT dan e-Dagang.

"Sebelum berakhirnya tahun 2023, kerajaan akan memastikan terdapat kemudahan PEDi sekurang-kurangnya satu di setiap DUN (1DUN 1PEDi).

"Bagi menyokong aktiviti automasi dan pendigitalan perniagaan, sejumlah RM100 juta disediakan di bawah Skim Geran Pendigitalan PKS dan penjaja kecil.

"Geran padanan sehingga RM5,000 akan dibayar kepada PKS yang melanggan aplikasi pendigitalan perniagaan seperti sistem jualan POS, perakaunan atau pengurusan inventori," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Disiarkan pada: February 24, 2023 @ 5:36pm
d