mutakhir

Belanjawan 2023: Subsidi yuran taska, galakan wanita kembali bekerja [METROTV]

Oleh Maiamalina Mohamed Amin

Kuala Lumpur: Subsidi yuran taska RM180 sebulan disediakan kerajaan kepada penjawat awam yang perlu menghantar anak mereka pusat asuhan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan juga menaikkan had

kelayakan pendapatan bulanan isi rumah yang layak untuk menerima subsidi itu daripada RM5,000 kepada RM7,000.

Selain itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan galakan diberi kepada wanita untuk kembali bekerja selepas berhenti kerja ketika tempoh cuti bersalin untuk menjaga anak mereka disebabkan kos penjagaan kanak-kanak yang tinggi.

"Bagi menggalakkan wanita kembali bekerja, PERKESO akan meminda Aktanya untuk membolehkan pemberian geran bersamaan 80 peratus daripada nilai gaji yang diinsuranskan pekerja.

"Dianggarkan lebih 130,000 wanita yang kembali bekerja selepas bersalin akan mendapat manfaat daripada geran ini yang melibatkan dana keseluruhan RM290 juta setahun.

"Saya menyeru supaya majikan memainkan peranan untuk turut bertanggungjawab dalam penyediaan pusat jagaan kanak-kanak di pejabat. Kerajaan akan terus memudah cara garis panduan untuk pusat jagaan kanak-kanak di pejabat termasuk membenarkan penyediaan pusat jagaan di aras pejabat yang lebih tinggi," katanya yang membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini berkata.

Menurutnya, insentif cukai sedia ada juga akan dilanjutkan bagi elaun jagaan kanak-kanak serta kos menyediakan pusat jagaan di pejabat.

"Jika sambutan daripada majikan kurang menggalakkan, kerajaan akan meneliti keperluan untuk mewajibkan penyediaan kemudahan tersebut demi menyokong ibu yang bekerja," katanya.

Katanya, sejumlah RM15 juta disediakan sebagai pinjaman mudah bagi membantu pengusaha pusat jagaan.

"Pada masa yang sama, kerajaan akan memudah cara proses pendaftaran dan memulakan semula program pemutihan taska dan pusat penjagaan kanak-kanak yang belum berdaftar di seluruh negara.

"Bagi memperluas akses pendidikan awal kanak-kanak, kerajaan akan meneruskan pembinaan 80 taska dan tabika KEMAS termasuk 13 projek baharu," katanya.

Disiarkan pada: February 24, 2023 @ 5:36pm
d