mutakhir

Belanjawan 2023: Pinda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat untuk banteras rasuah

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Kerajaan bercadang untuk meminda dan membentangkan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat pada tahun ini bagi melindungi pemberi maklumat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu dilaksanakan supaya agenda membanteras rasuah dan salah laku benar-benar berhasil.

"Selama ini ada orang berasa curiga, takut dan menerima tekanan apabila ingin memberikan maklumat. Justeru, kerajaan bercadang untuk meminda dan membentangkan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat pada tahun ini.

"Ia bagi melindungi pemberi maklumat supaya agenda membanteras rasuah dan salah laku benar-benar menuaikan hasil," katanya ketika berucap dalam pembentangan Belanjawan 2023 bertemakan Malaysia Madani di Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan Menteri turut memaklumkan kerajaan bercadang untuk membentangkan Akta Perolehan Kerajaan di Parlimen dalam masa terdekat.

"Pada 2019, kerajaan ada mencadangkan pembentangan Akta Perolehan Kerajaan di Dewan ini, namun ia ditangguhkan sewaktu pentadbiran kerajaan lalu.

"Justeru, kerajaan Perpaduan bercadang untuk membentangkan akta ini dengan segera," katanya.

Disiarkan pada: February 24, 2023 @ 6:35pm
d