mutakhir

KSU KPDN ketuai pasukan khas tangani ketirisan subsidi diesel

Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Ketua Setiausaha Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Mohd Yusof diarahkan mengetuai pasukan bertindak khas bagi menangani isu ketirisan subsidi diesel hampir RM10 bilion yang diseleweng tahun lalu.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, beliau sudah mengarahkan pasukan itu segera bertindak mengekang ketirisan subsidi diesel daripada terus berlaku.

"KSU sejak sebulan lalu dengan bersama Pengarah Penguatkuasaan KPDN, Datuk Azman Adam meronda dan melihat logistik di semua lokasi penting khususnya di kawasan pedalaman termasuk Sabah serta Sarawak.

"KPDN khuatir di situlah banyak berlaku ketirisan diesel selain di pangkalan nelayan.

"Jadi penguatkuasaan itu adalah sesuatu yang penting. KPDN ada 2,100 anggota penguat kuasa yang akan menyambut cabaran supaya dapat minimum ketirisan diesel di seluruh negara.

"Sepanjang tahun lalu juga sudah banyak tangkapan dibuat menerusi operasi dilancarkan termasuk Ops Terjah, Disember lalu.

"Menerusi Ops Terjah, kita akan pastikan penguat kuasa mengambil tanggungjawab dalam isu bukan saja ketirisan diesel malah minyak peket bersubsidi dan telur bersubsidi," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Kembali Ke Sekolah Parlimen Pulai, di sini, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 dilaporkan memaklumkan wujud ketirisan dalam subsidi diesel dengan anggaran hampir RM10 bilion pada 2022.

Ditanya sama ada KPDN akan mengetatkan prosedur mendapatkan subsidi diesel, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, kementeriannya akan meneliti semula data ketirisan diesel dengan lebih terperinci sebelum membuat keputusan lanjut.

"Data berkenaan (ketirisan diesel) kita perlu teliti dan periksa untuk dikemaskini terlebih dulu.

"Sebarang langkah lanjut memerlukan kerjasama dengan kementerian lain terutama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) yang memberi diesel kepada nelayan," katanya.

Disiarkan pada: February 25, 2023 @ 12:30pm
d