mutakhir

Perkeso komited pastikan inisiatif di bawah Belanjawan 2023 dilaksana

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) komited memastikan semua 54 pejabatnya di seluruh negara bersedia melaksanakan inisiatif kerajaan di bawah Belanjawan 2023 dalam memperkukuh perlindungan sosial negara dan memperkasa pasaran buruh tempatan.

Ketua Eksekutifnya Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, menerusi Belanjawan 2023, Perkeso diperuntukkan lebih RM313 juta bagi melaksanakan lima inisiatif perlindungan sosial negara dan lima inisiatif program pasaran buruh aktif pada tahun ini.

"Inisiatif perlindungan keselamatan sosial yang diumumkan dalam Belanjawan 2023 merangkumi Padanan Caruman Pekerja Sendiri, Geran Caruman Suri Rumah Miskin (Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR), Program Saringan Kesihatan Perkeso Pasca Covid-19, Geran Penjagaan Kanak-kanak bagi Wanita Kembali Bekerja dan Perlindungan Tambahan Menerusi Program LINDUNG+.

"Bagi inisiatif pemerkasaan pasaran buruh pula, ia meliputi Program Transisi Pekerjaan Untuk Perantisan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan Lepasan Sekolah, Program Bina Kerjaya Pekerja Informal Gig Riders, Pelanjutan Insentif Penggajian Pekerja Secara Bersasar, Elaun Mobiliti dan Pembangunan Pusat Satelit MYFutureJobs di Pusat Transformasi Bandar seluruh Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, di bawah inisiatif Padanan Caruman Pekerja Sendiri, Perkeso akan memperluas program bantuan padanan caruman kerajaan dengan pembiayaan 80 peratus pelan caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) untuk tiga lagi sektor baharu iaitu sukan, pendidikan dan ejen.

"Pembiayaan penuh caruman pula diteruskan kepada sukarelawan di sektor awam seperti sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam, petugas pemulihan dalam komuniti, bomba, pekhidmat rumah ibadat dan Jabatan Sukarelawan Malaysia serta pekerja awam berstatus kontrak.

"Sebanyak RM100 juta diperuntukkan bagi program ini yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 540,000 orang yang bekerja sendiri di Malaysia," katanya.

Beliau berkata, ketika ini, hanya 34 peratus atau 713,122 individu bekerja sendiri daripada 2.1 juta golongan bekerja sendiri di negara ini yang menyertai SKSPS.

Bagi inisiatif SKSSR, Mohammed Azman berkata Perkeso akan menumpukan liputan perlindungan sosial kepada suri rumah dari isi rumah miskin menerusi peruntukan RM25 juta bagi melindungi 338,000 suri rumah keluarga miskin selama 12 bulan.

Menurutnya, bagi menggalakkan wanita kembali bekerja selepas bersalin, PERKESO akan meminda Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 bagi memperuntukkan Geran Penjagaan Kanak-Kanak kepada Wanita Kembali Bekerja.

"Geran satu bulan bersamaan 80 peratus daripada gaji bulanan berinsurans disediakan untuk kira-kira 136,800 wanita yang kembali bekerja selepas tempoh bersalin.

"Ini membabitkan pembayaran faedah sebanyak RM292 juta setahun dan golongan ibu ini akan dibantu untuk bekerja semula menerusi Program Penempatan Pekerjaan MYFutureJobs," katanya.

Mohammed Azman berkata, Perkeso juga akan bekerjasama dengan penyedia insurans swasta bagi melaksanakan inisiatif LINDUNG+ yang menyediakan pelan perlindungan keselamatan sosial di luar skop perlindungan sedia ada.

Beliau berkata, di bawah inisiatif Program Transisi Pekerjaan Untuk Perantisan TVET dan Lepasan Sekolah, dengan dana RM44 juta seramai 17,000 graduan TVET berpeluang mendapat manfaat yang diumumkan kerajaan dalam Belanjawan 2023 menerusi perkhidmatan pekerjaan MYFutureJobs.

Bagi menangani isu ketidaksepadanan dari segi kemahiran pencari kerja dan keperluan industri, beliau berkata, KerjayaTVET akan memfokus kepada program Penempatan dan Latihan yang membolehkan majikan menghantar belia, khususnya graduan TVET, yang diambil bekerja untuk menjalani latihan berasaskan kompetensi oleh penyedia latihan yang diiktiraf kerajaan.

"Sebagai peneraju keselamatan sosial, Perkeso komited memastikan jaringan keselamatan sosial yang inklusif dan menyeluruh tanpa meminggirkan mana-mana pihak menerusi penambahbaikan faedah serta perluasan perlindungan kepada golongan yang belum dilindungi.

"Sehubungan itu, ikhtiar-ikhtiar kerajaan yang terkandung dalam Belanjawan 2023 yang diamanahkan kepada Perkeso akan dilaksanakan dengan penuh akauntabiliti dan ketelusan," katanya.

Disiarkan pada: February 26, 2023 @ 11:28pm
d