mutakhir

Banjir di Johor makin buruk, mangsa meningkat 5,878 orang [METROTV]

Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Mangsa banjir di Johor melonjak lagi kepada 5,878 penduduk daripada 1,575 keluarga yang dipindahkan ke 54 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di enam daerah terjejas banjir, setakat jam 12 tengah hari ini.

Ia berbanding hanya seramai 2,162 penduduk daripada 581 keluarga dipindahkan ke 25 PPS, yang dibuka di lima daerah terjejas banjir, setakat jam 9 pagi tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, hujan lebat yang masih berterusan sejak lebih 24 jam lalu menyebabkan kebanyakan penempatan di kawasan rendah dan berhampiran sungai dinaiki air banjir.

Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, Pontian menjadi daerah keenam dan terbaru terjejas banjir di negeri ini dengan 15 mangsa daripada tiga keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Melayu Pekan Nanas.

Katanya, Kluang menjadi daerah paling terjejas apabila mangsa banjirnya melonjak naik kepada 1,952 penduduk daripada 518 keluarga di 10 PPS, berbanding hanya 650 penduduk daripada 188 keluarga di sembilan PPS berbanding jam 9 pagi tadi.

"Segamat pula adalah daerah kedua terjejas dengan seramai 1,431 mangsa daripada 419 keluarga ditempatkan di 16 PPS yang dibuka. Kota Tinggi pula mempunyai 1,156 mangsa banjir membabitkan 259 keluarga di 10 PPS.

"Seramai 1,004 mangsa banjir daripada 296 keluarga ditempatkan di sembilan PPS di Johor Bahru dengan mangsa banjir di Kulai melonjak kepada 320 penduduk daripada 80 keluarga di lima PPS.

"Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya atau merah ke atas semua 10 daerah negeri ini sehingga esok, sekali gus meningkatkan risiko banjir di kawasan rendah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Azmi berkata, 11 sungai utama masing-masing empat di Segamat dan Kulai dan masing-masing satu di Johor Bahru, Kluang dan Pontian, berada pada paras bahaya, tengah hari ini.

Katanya, ia membabitkan Sungai Segamat Kecil yang melebihi paras bahaya di 38.32 meter, Sungai Bandar Segamat pula melepasi 9.20 meter, Sungai Labis melepasi paras 41.31 meter dan Sungai Lenik Ladang Chaah pula melepasi 8.11 meter.

"Di Kulai pula, Sungai Siku di Kampung Murni Jaya melepasi paras bahaya di 21.51 meter, Sungai Skudai Kampung Separa melepasi 18.66 meter, Sungai Kampung Melayu Bukit Batu turut melepasi paras bahaya di 12.86 meter dan Sungai Siam Kampung Sungai Siam pula melepasi paras bahaya 21.51 meter.

"Di Johor Bahru, Sungai Skudai di Kampung Laut melepasi paras bahaya 5.79 meter, Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang juga melepasi tahap bahaya di paras 16.95 meter dengan Sungai Pulai, di Kampung Ulu Pulai, Pontian turut melepasi tahap bahaya pada paras 2.81 meter," katanya.

Sementara itu, Azmi berkata, lima jalan utama masing-masing dua di Kluang dan Segamat selain satu di Johor Bahru, turut ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan kerana dinaiki air banjir.

"Ia membabitkan Jalan Kluang-Mersing (Ladang Greenway FT050) di Kluang.

"Bagaimanapun Jalan Mohd Salim (FT172) di Kluang yang dinaiki air bah hampir satu meter hanya boleh dilalui kenderaan berat sahaja.

"Di Segamat pula, Jalan Bekok (J150) dan Jalan Kampung Tenang (J151) yang dinaiki air bah hampir satu meter, masih ditutup kepada semua jenis kenderaan, manakala Jalan Masai Lama Seksyen 21 (J10) ditutup sepenuhnya kerana tanah runtuh" katanya.

Disiarkan pada: March 1, 2023 @ 1:45pm
d