mutakhir

Tiga daerah Johor diutamakan untuk projek tebatan banjir

Oleh Izz Laily Hussein

Batu Pahat: Kota Tinggi, Segamat dan Batu Pahat menjadi tiga daerah yang diberi keutamaan dalam melaksanakan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) akan datang.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pemilihan selepas tiga daerah itu dikenal pasti paling teruk terjejas setiap kali berlakunya banjir di negeri ini.

"Saya sangat bersyukur dengan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri pagi tadi yang mana beliau telah memberikan komitmen untuk memastikan bahawa projek-projek tebatan banjir di Johor yang membabitkan beberapa daerah akan disegerakan supaya isu banjir ini dapat diselesaikan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Medan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, menerusi kenyataan di Facebook, Onn Hafiz menzahirkan ucapan terima kasih mewakili kerajaan negeri, terhadap Anwar yang hadir meninjau situasi semasa banjir di Johor, khususnya Segamat.

Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada Persekutuan atas peruntukan segera sebanyak RM50 juta untuk digunakan bagi segala keperluan banjir di negeri itu.

"Peruntukan ini adalah tambahan kepada peruntukan segera RM10 juta yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini.

"Beliau (Anwar) juga telah mengulangi pendirian untuk mempercepatkan tender RTB di Johor, selain mempertimbangkan permohonan peruntukan untuk kerosakan jalan, kemusnahan tanaman, ternakan dan sebagainya," katanya.

Menurut Onn Hafiz, Anwar turut memutuskan untuk menambah segera aset dan pegawai di bawah kerajaan Persekutuan bagi membantu operasi banjir termasuklah kerja pasca banjir.

Disiarkan pada: March 5, 2023 @ 9:21pm
d