mutakhir

MRSM: Semak keputusan kemasukan esok

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Keputusan tawaran kemasukan ke Tingkatan 1 dan 4 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sesi 2023 boleh disemak bermula 8 malam esok.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Mara menerima 90,018 permohonan ke tingkatan 1 dan 4 MRSM sesi tahun ini.

"Kapasiti kemasukan pelajar ke Tingkatan 1 adalah 7,169 pelajar dan Tingkatan 4 pula 2,109 orang.

"Calon yang berjaya ditawarkan ke MRSM akan menerima notifikasi menerusi Sistem Pesanan Ringkas (SMS) atau e-mel yang didaftarkan semasa permohonan atau portal rasmi Mara di https://www.mara.gov.my/.

"Pemohon atau ibu bapa perlu membuat pengesahan terima atau tolak tawaran kemasukan dalam tempoh tujuh hari," katanya hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, sekiranya calon tidak membuat pengesahan penerimaan tawaran dalam tempoh itu, tawaran kepada calon berkenaan dianggap terbatal.

"Permohonan rayuan ke MRSM akan mula dibuka bermula pada 7 sehingga 14 Mac 2023 secara dalam talian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pendaftaran pelajar baharu pada 21 Mac 2023 bermula 8.30 pagi dan pertukaran penempatan tidak dibenarkan sepanjang pengajian.

"Mara masih meneruskan dasar sedia ada dengan 60 peratus pengambilan pelajar adalah daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) dengan keutamaan juga diberikan kepada pemohon luar bandar dan miskin bandar," katanya.

Disiarkan pada: March 6, 2023 @ 1:12pm
d