mutakhir

Ayah dan dua anak berkhatan sekali

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Puchong: Lelaki mualaf mengambil keputusan berkhatan bersama dua anak lelakinya pada program Sunathon Abang Mualaf di MyMedikal Healthcare, Bandar Puchong Utama, di sini, hari ini.

Arsalam Abdullah, 35, berkata, pada mulanya dia sekadar mahu menemani kedua anaknya iaitu Rashwan Arsalam, 11, dan Rayyan Arsalam, 7, namun terpanggil berbuat perkara sama kerana seumur hidupnya tidak pernah berkhatan.

"Saya memeluk Islam pada 1 November 2021 dan tidak pernah berkhatan. Tambahan pula kadar bayaran berkhatan bagi orang dewasa agak membebankan.

"Bagaimanapun hari ini, Pertubuhan Akademi Al Bayan bersama MyMedikal Healthcare dengan mulia hati membantu golongan mualaf yang susah seperti kami.

"Jadi saya rebut peluang bawa anak-anak dan akhirnya terpanggil untuk melakukan berbuat hal yang sama apatah lagi ia adalah sunnah yang sangat dituntut dalam Islam," katanya.

Kelegaan yang sama turut diluahkan warga emas, Osman@Yeah Kim Huat, 72, yang mengakui berdebar sewaktu prosedur berkhatan dilakukan.

"Alhamdulillah, Allah SWT permudahkan dan hari ini saya sudah melaksanakan satu lagi tanggungjawab sebagai seorang Muslim. Berdebar ada, takut pun ada kerana kita sedia maklum berkhatan ini agak menyakitkan bagi seorang lelaki," katanya.

Sementara itu, Ahmad Andrew Muling, 47, turut bersyukur dan teruja kerana diizinkan Allah SWT untuk berkhatan.

Menurutnya yang berketurunan Iban, sebelum ini dia pernah bergelumang dalam dunia mak nyah menemukan hidayah dan memeluk Islam pada 31 Disember 2021.

"Terlebih dulu saya sangat berterima kasih kepada MyMedikal Healthcare dan pihak Al Bayan kerana memberi peluang kepada saya untuk berkhatan hari ini.

"Sebagai seorang Islam saya sangat bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana sudah melengkapi syarat seorang lelaki Muslim yang sudah disunatkan Nabi Muhammad SAW," katanya.

Program Sunathon Abang Mualaf itu adalah anjuran Pertubuhan Akademi Al Bayan dengan pembabitan 50 saudara mualaf pelbagai bangsa berusia antara 7 hingga 72 tahun.

Pengasas dan Pengarah AlBayan Global Sdn Bhd, Dr Nur Mohammad Hadi Zahalan berkata, program itu sebagai tanda meraikan saudara baru yang wajar mendapat perhatian masyarakat Islam setempat.

"Kami mengambil peluang ini untuk menjaga kebajikan dan keperluan mualaf. Pihak pertubuhan bukan sekadar menyediakan keperluan asas berbentuk bantuan dan makanan, tapi merangka inisiatif menaja mualaf yang ingin melaksanakan kewajipan berkhatan.

"Ini kerana berkhatan adalah suatu kewajipan untuk dilaksanakan oleh setiap orang Islam. Perkara ini kerana, hikmah pensyariatan khatan adalah untuk menjaga kesucian dan kebersihan secara luaran mahupun dalaman sebagaimana yang disebutkan Allah SWT dalam al-Quran Surah al-Baqarah, ayat 222," katanya.

Menurutnya, melalui sumbangan orang ramai, pihak Pertubuhan Akademi Al Bayan memanfaatkan wang itu dengan melaksanakan program terbabit.

Disiarkan pada: March 6, 2023 @ 5:59pm
d