mutakhir

Kadar kemalangan ke tempat kerja menurun - Perkeso [METROTV]

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) merekodkan penurunan kadar kemalangan ketika ke tempat kerja dan kemalangan industri melalui Ops Cegah tahun lalu.

Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, sebanyak 26 majikan sudah terkeluar dari senarai 100 majikan tertinggi kemalangan Perkeso dalam kemalangan perjalanan ke tempat kerja.

Menurutnya, ia menunjukkan penurunan kadar kemalangan antara 12 hingga 80 peratus pada tahun lalu berbanding 2021.

"Di kalangan majikan yang masih dalam senarai pula, 22 peratus daripada mereka menunjukkan penurunan dalam kadar kemalangan perjalanan berbanding tahun sebelumnya.

"Sementara itu, 32 majikan sudah berjaya keluar dari senarai 100 majikan tertinggi kemalangan Perkeso dalam kemalangan industri, dengan mencatatkan pengurangan kemalangan antara 6 hingga ke 80 peratus.

"Selain itu, sebanyak 34 peratus daripada majikan yang masih dalam senarai pula, menunjukkan penurunan kadar kemalangan industri," katanya pada majlis pelancaran Ops Cegah 2023 di Menara Perkeso, Jalan Ampang, di sini, hari ini.

Ops Cegah 2023 yang bertemakan 'Kebersamaan Mengurangi Risiko Kecederaan dan Kematian Pekerja' dijalankan selama dua minggu bermula 7 hingga 22 Mac ini, serentak di seluruh negara.

Pelaksanaan Ops Cegah itu diperkenalkan Perkeso tahun lalu.

Mohammed Azman berkata, melalui Ops Cegah tahun ini, pihaknya menyasarkan lawatan ke lebih 1,000 premis majikan seluruh negara berdasarkan senarai Top 100 dan Top 20 pada tahun lalu.

Katanya, pelaksanaannya juga akan dilakukan secara bersepadu bersama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH).

Selain itu agensi yang turut terbabit ialah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Tujuan utama Ops Cegah adalah menyampaikan mesej mudah mengenai kemalangan pekerjaan. Selain memberi panduan kepada majikan dan pekerja tentang amalan terbaik dan berkesan dalam menangani isu berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di tempat kerja dan ketika dalam perjalanan di jalan raya," katanya.

Disiarkan pada: March 7, 2023 @ 3:39pm
d