mutakhir

PDRM buka 2 kertas siasatan kes mafia korporat

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka dua kertas siasatan berhubung artikel 'Rahsia mafia korporat Malaysia Victor Chin Boon Long' yang didakwa memperalatkan penguatkuasa tempatan.

Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) menerima laporan polis berhubung perkara itu pada 25 Mei 2022 dan kertas siasatan dibuka.

"Dalam laporan itu ada menyatakan wujud salah laku dan penyelewengan kewangan membabitkan wang berjumlah kira-kira RM30.7 juta dalam pengurusan syarikat Caely (M) Sdn Bhd (anak syarikat milik Caely Holdings Berhad).

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan bagi kesalahan pecah amanah oleh ejen," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan itu, katanya, satu laporan polis dibuat oleh polis pada 21 September lalu untuk siasatan mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan.

"Ia bagi kesalahan menyebabkan hilangnya keterangan mengenai satu kesalahan dilakukan atau memberi dimaklumkan atau memberi maklumat palsu mengenai kesalahan itu untuk mengelak pesalah daripada hukuman.

"Kedua-dua kertas siasatan itu sudah dirujuk ke Jabatan Peguam Negara, Putrajaya pada 27 Februari lalu untuk arahan dan keputusan lanjut," katanya.

Terdahulu, satu portal menerbitkan artikel berhubung sekumpulan individu melakukan cubaan merampas syarikat senarai awam Caely Holdings dan sebuah syarikat lain.

Kemelut perebutan mengakibatkan kejatuhan harga saham malah ia mendakwa turut membabitkan agensi penguatkuasaan, penyiasatan, penahanan dan pembekuan akaun ahli Lembaga Pengarah syarikat itu.

Disiarkan pada: March 8, 2023 @ 10:58am
d