mutakhir

McDonald's lancar Menu Rahmah [METROTV]

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: Restoran khidmat segera, McDonald's Malaysia hari ini melancarkan Menu Rahmah dalam usaha membantu meringankan beban masyarakat dalam situasi peningkatan kos sara hidup ketika ini.

Naib Presiden dan Ketua Pegawai Pemasaran McDonald's Malaysia, Melati Abdul Hai berkata, pihaknya menawarkan tiga pilihan menu berharga RM5 yang boleh didapati di semua restoran makanan segera itu di seluruh negara.

Menurutnya, usaha itu menunjukkan sokongan dan komitmen pihaknya terhadap inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sekali gus membantu masyarakat yang terbeban.

"Sebagai jenama yang dekat di hati rakyat, kami menyokong inisiatif yang bermakna ini dan dengan pelancaran menu ini membolehkan kami menyediakan hidangan kepada semua rakyat tanpa mengira latar belakang untuk bersama menikmati hidangan kami pada bila-bila masa.

"Kami menawarkan burger ayam dan teh ais limau cawan kecil, bubur ayam (saiz kecil) dan teh ais limau (cawan kecil) dan McEgg juga bersama teh ais limau (cawan kecil," katanya pada Majlis Pelancaran Menu Rahmah McDonald's Malaysia,di sini, hari ini.

Majlis berkenaan dilancarkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Pada majlis itu, McDonald's turut menyantuni anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Islam Peribadi Mulia, Kajang dengan hidangan Menu Rahmah sebagai usaha berterusan dalam menyumbang kepada masyarakat setempat.

Disiarkan pada: March 8, 2023 @ 1:54pm
d