mutakhir

Perkeso sudah bantu 82,822 OB menerusi RTW [METROTV]

Oleh Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sudah membantu seramai 82,822 orang berinsurans (OB) di seluruh negara yang mengalami hilang upaya akibat kecederaan dan penyakit mental menerusi program 'Return to Work' (RTW).

Ketua Cawangan RTW Perkeso Rosmawati Mat berkata, statistik itu direkodkan menerusi program berkenaan sejak 2007 hingga kini.

Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 57,188 orang pula berjaya kembali bekerja dalam pelbagai bidang.

"Perkeso membantu mereka yang hilang upaya termasuk fizikal dan mental untuk dipulihkan menerusi pemulihan fizikal, latihan vokasional serta mencari penempatan pekerjaan.

"Kita memberi latihan kepada mereka untuk kembali pulih dan setara dengan individu lain. Ini juga bagi membuang stigma masyarakat atau majikan kepada golongan orang kurang upaya (OKU).

"Selain itu, kita akan pantau sehingga mereka pulih dan dapat kembali bekerja sama ada kerja sendiri atau dengan majikan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Projek Caring Centre Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (Mentari) di Klinik Kesihatan Ketereh di sini, hari ini.

Rosmawati berkata, sebanyak 1,477 kes bermotivasi yang diuruskan oleh Pengurus Kes di Kelantan dan seramai 984 orang kembali bekerja selepas mengikuti program rehabilitasi dan vokasional yang ditawarkan.

"Selain itu, Perkeso melaksanakan pelbagai aktiviti di bawah Projek Caring Centre di 14 hospital kerajaan di seluruh negara bagi memantapkan perkhidmatan rawatan pesakit psikiatri dan dana utama disumbangkan oleh Lembaga Tabung Haji yang berjumlah RM420,000.

"Program ini adalah satu latihan vokasional yang membabitkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membantu lebih ramai peserta RTW bersama orang awam untuk menjana pendapatan menerusi aktiviti keusahawanan.

"Program ini diharap dapat membantu meningkatkan bilangan pesakit yang mengalami masalah kesihatan mental untuk diambil bekerja semula," katanya.

Disiarkan pada: March 8, 2023 @ 4:25pm
d