mutakhir

Jemaah Menteri belum buat keputusan batal kontrak projek NIISe

Oleh Fahmy A Rosli

Kuala Lumpur: Kerajaan belum membuat keputusan untuk membatalkan kontrak Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) yang diberikan kepada syarikat teknologi Iris Corporation (Iris) sekali gus menafikan laporan sebuah portal hari ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, setakat ini pihaknya ada membincangkan perkara berkait kontrak sistem itu dan syarikat terbabit menerusi mesyuarat Jemaah Menteri.

Menerusi nota pemakluman hal itu kepada Jemaah Menteri, beliau menjelaskan ia mengandungi laporan berkait kemajuan projek berkenaan.

"Benar Jemaah Menteri ada membincangkan melalui kertas yang saya angkat untuk tujuan perbincangan. Kertas ini nota kepada Jemaah Menteri. Nota bermaksud ia bersifat pemakluman bukannya memo. Kalau memo Jemaah Menteri itu memerlukan keputusan dasar.

"Jadi setelah saya bentangkan nota kepada Jemaah Menteri, nota itu berupa satu laporan tentang kemajuan projek itu. Projek itu sudah hampir dua tahun berjalan setakat Mac 2023. Ia sudah dua tahun sebab mula kontrak itu diberikan pada Mac 2021.

"Mereka kena siapkan pada Ogos 2024 dan pada setakat Mac 2023, mereka sebenarnya belum mencapai tahap kemajuan projek yang sepatutnya mereka capai. Jadi saya bertanggungjawab untuk melaporkan kepada Jemaah Menteri kerana projek ini menelan belanja RM1.2 bilion," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) di Maktab Polis Diraja Malaysia di sini hari ini.

Kenyataan itu sebagai mengulas laporan sebuah portal hari ini, bahawa Jemaah Menteri memutuskan untuk membatalkan kontrak Iris yang ditawarkan projek NIISe.

Justeru, Saifuddin menegaskan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sangat mengharapkan kejayaan projek NIISe.

Sebagai menteri bertanggungjawab, beliau harus melindungi kepentingan pengguna iaitu JIM bagi mengelak ia menjejaskan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

"Saya telah membentangkan status semasa projek ini dan daripada situ, Kabinet kemudian mengarahkan KDN untuk membuat satu syor apakah status projek ini untuk dicadangkan kepada Jemaah MEnteri.

"Kami ada sehingga April tahun ini untuk mengemukakan memo kepada Jemaah Menteri yang memerlukan satu keputusan hala tuju tentang projek ini buat masa ini," katanya.

"Buat masa ini, saya dan kementerian sedang menguruskan perkara ini. Saya tak mahu buat spekulasi dan apa-apa andaian dulu sebab perkara ini memerlukan penelitian. Sudah tentu sebuah projek berskala besar begitu ia ada beberapa parameter sebelum keputusan nak teruskan atau batalkan," katanya.

Disiarkan pada: March 11, 2023 @ 7:47pm
d