mutakhir

Gaduh pasal 'Mobile Legend'

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: Hanya kerana membantu rakan yang dipukul sekumpulan individu berhubung isu keengganan bermain permainan 'Mobile Legend', seorang pelayan restoran turut dibelasah dalam pergaduhan di sebuah stesen minyak di Telok Mas, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 5 pagi, mangsa berusia 25 tahun diajak rakannya yang berumur 22 tahun ke lokasi untuk menyelesaikan perselisihan faham berhubung isu enggan bermain permainan 'Mobile Legend' secara dalam talian.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, berdasarkan laporan, mangsa menyatakan sebaik mereka sampai, terdapat beberapa lelaki bermotosikal menunggu di stesen minyak terbabit.

"Beberapa minit kemudian muncul sekumpulan lagi lelaki juga bermotosikal terus memukul rakan mangsa.

"Mangsa cuba membantu namun dihempuk dengan topi keledar hingga cedera di kepala, patah tulang hidung dan menerima beberapa jahitan di kepala ketika dirawat di Hospital Melaka.

"Rakan mangsa turut menerima 10 jahitan di dahi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota Cawangan D7 (Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat) diketuai Inspektor Mohd Shahrol Firdaus menjalankan siasatan sebelum menahan tujuh lelaki berusia 16 hingga 28 tahun dalam dua serbuan di Jalan Kota Melaka kerana disyaki terbabit dalam kes pergaduhan itu.

"Tangkapan pertama dibuat jam 12.15 tengah malam tadi terhadap empat lelaki di tepi Jalan Kota Melaka diikuti tiga lagi suspek 20 minit kemudian di lokasi sama.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 326 dan 148 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah dan melakukan gaduh gempar," katanya.

Beliau berkata, tujuh suspek terbabit direman selama lima hari bagi membantu siasatan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu boleh menghubungi polis.

- tamat

Disiarkan pada: March 12, 2023 @ 1:34pm
d