mutakhir

Adik ditemui lemas, abang hilang jatuh lombong

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Sungai Petani: Seorang kanak-kanak lelaki etnik Rohingya ditemui lemas manakala abangnya yang berusia enam tahun hilang selepas dipercayai terjatuh di kawasan lombong Kampung Permatang Kedundung, Tikam Batu, di sini semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu, Penolong Penguasa Bomba Mohd Syukri Hashim berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.43 malam tadi.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Tikam Batu yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Shaari Hashim bergegas ke lokasi untuk melakukan operasi menyelamat.

"Setibanya di lokasi, Komander Operasi menerima maklumat bahawa terdapat kanak-kanak lelaki berusia empat dan enam tahun etnik Rohingya dikhuatiri lemas.

"Ia berdasarkan penemuan pakaian mangsa yang ditemui di lokasi kejadian. Tindakan yang dilakukan adalah dengan menjalankan operasi secara permukaan air di kawasan dipercayai mangsa lemas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Syukri berkata, pada jam 8.05 pagi, mangsa berusia empat tahun yang dikenali sebagai Mamod Shukur Belal Hussain ditemui lemas dalam jarak 400 meter daripada tebing lombong berkenaan.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi mencari seorang lagi mangsa, Muhammad Nazeri Belal Hussain masih diteruskan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, operasi mencari seorang mangsa masih diteruskan di kawasan lombong berkenaan.

Tamat

Disiarkan pada: March 12, 2023 @ 2:42pm
d