mutakhir

KKD kaji pinda Seksyen 233 beri kuasa lebih besar kepada SKMM [METROTV]

Oleh Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan mengkaji semula Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) bagi membolehkan pindaan dibuat untuk memberikan kuasa lebih besar kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Ia susulan SKMM tidak mempunyai kuasa bagi menutup akaun media sosial palsu yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman atau menghina institusi.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching berkata, antara cadangan diterima pihaknya adalah menaikkan hukuman yang boleh dikenakan di bawah Seksyen 233.

"Memang KKD dalam usaha untuk mengkaji semula Seksyen 233 supaya pindaan boleh dibuat untuk memberi kuasa yang lebih besar kepada SKMM," katanya menerusi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang bertanyakan adakah KKD berhasrat untuk meminda Akta 588 dan memastikan golongan muda tidak terpengaruh dengan perkara yang tidak sepatutnya di dalam media sosial.

Nie Ching dalam masa sama menggesa semua pihak untuk terbabit dalam program kesedaran penggunaan media sosial.

"Kami perlukan penglibatan semua pihak, ibu bapa, guru-guru dan seluruh masyarakat untuk kita menyampaikan mesej dan mendidik golongan muda agar tidak menyalahgunakan kebebasan bersuara," katanya.

Disiarkan pada: March 13, 2023 @ 1:30pm
d