mutakhir

RUU Warga Emas ambil kira tindakan terhadap anak tidak bertanggungjawab [METROTV]

Oleh Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Tindakan undang-undang terhadap anak yang tidak bertanggungjawab terhadap ibu bapa mereka, antara perkara diambil kira dalam merangka Rang Undang-Undang (RUU) Warga Emas.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Aiman Athirah Sabu berkata, pihaknya menjangkakan RUU itu akan dibacakan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, tahun hadapan.

Katanya, penggubalan RUU itu bukan hanya untuk melindungi warga emas, namun sebagai persediaan negara menghadapi status negara tua pada 2030.

"Antara kandungan akta tersebut ialah pertama melindungi kebajikan warga emas, kedua melindungi hak asasi warga emas, ketiga memperkasakan warga emas, keempat memperkasakan ahli-ahli keluarga dan komuniti.

"Kelima mewujudkan sistem sokongan yang kuat untuk warga emas dan keenam bagi mewujudkan sistem sokongan yang kuat untuk penjaga.

"KPWKM akan teliti kesesuaian undang-undang terhadap anak-anak yang tidak bertanggungjawab kepada ibu bapa dalam akta tersebut bagi memastikan kesedaran masyarakat umum kepentingan menjaga warga emas," katanya pada sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) sama ada kementerian berhasrat memperkenalkan undang-undang mewajibkan potongan gaji anak yang menghantar ibu bapa mereka di pusat jagaan atau rumah jagaan warga emas di negara ini.

Mengulas lanjut, Aiman Athirah berkata, kementerian menyambut baik cadangan mewajibkan potongan gaji anak yang menghantar ibu bapa ke pusat jagaan sekiranya mereka berkemampuan.

"Namun, bagi yang tidak berkemampuan, KPWKM telah melaksanakan pelbagai inisiatif secara menyeluruh bagi memelihara kebajikan warga emas yang ada dalam negara ini," katanya.

Disiarkan pada: March 15, 2023 @ 11:52am
d