mutakhir

Ahmad Zahid janji selesai masalah air di Kelantan jika menang PRN [METROTV]

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Umno merayu kepada pengundi di Kelantan supaya memberi peluang kepada parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti bagi menyelesaikan masalah bekalan air bersih.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, masalah air di Kelantan adalah janji Umno yang akan diselesaikan sekiranya diberi peluang oleh rakyat bagi tempoh lima tahun.

"Bagi saya di Kelantan, masalah air mesti diselesaikan dan itu adalah janji Umno dan Barisan Nasional (BN). Dalam keadaan ini, pengundi Kelantan perlu membantu Umno untuk sekali ini.

"Cuba beri peluang untuk Umno hanya untuk lima tahun sahaja, jika dirasakan tidak OK, boleh tukar semula.

"Kita hanya perlukan masa lima tahun untuk BN membuktikan kita mampu memberi bekalan air bersih kepada rakyat di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pengenalan Calon-Calon Pemilihan Umno sesi 2023/2026, di sini, hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, pihak tertentu tidak boleh menyalahkan Allah dalam isu air keruh, sebaliknya sebagai pemimpin perlu berusaha memberi air bersih kepada rakyat.

"Jadi berilah peluang kepada Umno dan BN untuk kali ini. Dasar yang baik yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri, kita akan teruskan," katanya.

Disiarkan pada: March 15, 2023 @ 1:17pm
d