mutakhir

Rindu memaksa Muhammad Najmi pulang

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Jerantut: Biarpun berbaki kurang tiga bulan lagi bakal menamatkan pengajian di Universiti Al Azhar, Mesir, Muhammad Najmi Rosni nekad pulang ke tanah air demi rindu pada ibu bapa dan menziarahi pusara sepupu tersayang.

Video Muhammad Najmi, 24, membuat kejutan kepulangannya ke tanah air kepada ibu bapa yang dikongsi akaun TikTok pada Ahad lalu, meraih 1.9 juta tontonan dan meruntun hati netizen.

Lebih manis, kejutan itu juga sempena ulang tahun perkahwinan ibu bapa yang ke-31, biarpun terselit duka dalam kepulangannya kali ini apabila sepupu lelaki yang rapat dengannya meninggal dunia.

Penuntut tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Syariah Undang-Undang itu berkata, dia tiba di tanah air pada 10 malam 1 Mac, namun pulang ke rumah di Taman Seroja, di sini, 3 Mac lalu iaitu tarikh sama dengan ulang tahun perkahwinan ibu bapanya.

Menurutnya, pada mulanya dia yang sudah tiga tahun tidak pulang ke tanah air mahu pulang selepas mendapat berita kehilangan sepupu tersayang pada 17 Februari lalu tetapi ketika itu harga tiket penerbangan agak mahal.

"Keluarga juga melarang saya pulang kerana tidak lama lagi akan tamat belajar tetapi saya berasa tak tenang selepas mendapat berita sepupu yang rapat dengan saya meninggal dunia kerana kemalangan.

"Saya juga rindukan ibu dan ayah jadi saya ambil keputusan pulang juga tanpa beritahu keluarga dan sambil itu mahu membuat kejutan sempena ulang tahun perkahwinan mereka," katanya.

Katanya, selepas tiba di Jerantut dia menghubungi sepupu untuk mengambilnya di hotel dan turut sempat menempah hadiah kejutan untuk ibu bapa.

"Saya berlagak seperti penghantar dan sebelum itu memang sudah beritahu abang minta ibu dan ayah bersiap kerana ada hadiah dari saya untuk mereka.

"Ketika itu saya memakai topi keledar, kaca mata hitam dan menutup muka dengan kain. Ibu dan ayah memang tak perasan saya lagi, sampailah saya buka topi keledar, mak yang terkejut terus menjerit melihat saya," katanya.

Katanya, ibu bapanya tidak dapat mengecamnya kerana badannya sudah susut berbanding tiga tahun lalu selain suara sedikit berlainan kerana memakai kain untuk menutup muka.

"Alhamdulillah, keluarga tidak marah sebaliknya sangat gembira dapat berjumpa. Mak menangis kerana saya pulang dan masih bersedih dengan pemergian arwah sepupu.

"Selepas berjumpa keluarga, kami terus ke rumah arwah sepupu dan keesokannya saya menziarah kuburnya. Saya dan arwah memang rapat dan kami sekolah bersama sebelum berpisah kerana saya ke Mesir," katanya yang akan pulang semula ke Mesir pada 25 Mac ini.

Disiarkan pada: March 15, 2023 @ 6:58pm
d