mutakhir

Lelaki warga asing ditahan bersama sebongkah, 2 guni gaharu

Oleh Mohd Rafi Mamat

Bera: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menahan seorang lelaki warga asing yang memiliki sebongkah dipercayai gaharu dalam Hutan Simpan Pemuliharaan Tasek Bera (Ramsar) di sini, kelmarin.

Turut dikesan bersama lelaki berusia 56 tahun itu, dua guni dipercayai gaharu.

Tangkapan dilakukan dalam Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang turut disertai beberapa anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Pengarah JPNP Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, dalam operasi berkenaan turut ditemukan pondok dipercayai tempat tinggal warga asing berkenaan yang berada dalam hutan simpan terbabit bertujuan mencari gaharu.

Menurutnya, pemeriksaan di pondok berkenaan menemui beberapa barangan seperti telefon bimbit, jerat binatang, daging binatang liar, lampu suluh, gergaji dan alat mengukir kayu yang digunakan untuk memisahkan gaharu dengan kayu pokok.

Katanya, pemeriksaan dalam kawasan hutan simpan terbabit turut menemui pokok karas yang sudah ditebang bagi tujuan mendapatkan garas yang terdapat di dalam batangnya.

"Beberapa hutan simpan di negeri ini dikenal pasti menjadi lokasi warga asing menceroboh bagi mencari pokok karas untuk mendapatkan gaharu, anggota Unit Penguat Kuasa JPNP Zon Pahang Barat dan Timur sentiasa melakukan pemantauan secara berkala.

"Kita tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan hutan antaranya seperti menceroboh dan memindahkan hasil hutan tanpa kebenaran," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Hizamri menambah, kerjasama semua pihak terutama Orang Asli dan masyarakat setempat dalam memberi maklumat aktiviti menceroboh hutan simpan untuk mencari garahu dapat menyekat kegiatan berkenaan daripada terus berleluasa di negeri ini.

"Pokok karas antara pokok yang dilindungi di negeri ini, ia tidak dibenarkan ditebang bagi apa juga tujuan. Mereka yang terbukti menebang boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Perhutanan Negara 1984.

"Permintaan yang tinggi dan harga mahal menjadi faktor utama gaharu terus menjadi buruan pihak berkaitan, difahamkan harga gaharu liar boleh mencecah RM10,000 hingga RM100,000 sekilogram (kg)," katanya.

Disiarkan pada: March 16, 2023 @ 1:40pm
d