mutakhir

Antara Hasni dengan Ahmad, siapa pilihan perwakilan [METROTV]

Oleh Mohamed Farid Noh

Pontian: Pertembungan antara Datuk Seri Hasni Mohammad dan Datuk Seri Ahmad Maslan merebut jawatan Ketua Umno Bahagian Pontian hari ini, adalah antara pertandingan ketua bahagian paling sengit pada pemilihan kali ini.

Hasni yang juga penyandang jawatan itu dicabar Ahmad yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Pontian.

Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Benut dan Ahli Parlimen Simpang Renggam itu turut bertanding jawatan Naib Presiden Umno.

Beliau menyandang jawatan Ketua Umno Bahagian Pontian sejak 2001, manakala Ahmad pula menjawat jawatan Timbalan Ketua Umno Bahagian Pontian sejak 2008.

Hasni berbekalkan reputasi besar apabila 22 tahun menerajui Umno Bahagian Pontian, apatah lagi beliau pernah menjadi Pengerusi Umno Johor dari 2018 hingga Januari lalu.

Beliau juga dilantik sebagai Menteri Besar Johor selama dua tahun pada 2020 selain menjadi Ketua Pembangkang Johor, dua tahun sebelumnya.

Paling cemerlang apabila Hasni berjaya mengemudi Umno dan Barisan Nasional (BN) Johor untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tahun lalu, apabila mencatat kemenangan selesa melebihi majoriti dua pertiga apabila berjaya memperoleh 40 daripada 56 kerusi.

Ahmad juga adalah pemimpin berpengalaman apatah lagi beliau adalah Ahli Parlimen Pontian sejak 2008 dan aktif terbabit dengan pelbagai aktiviti turun padang dan bertemu masyarakat Pontian.

Beliau berpengalaman luas apabila pernah menjawat pelbagai jawatan tertinggi parti peringkat nasional termasuk dilantik sebagai Ketua Penerangan Umno pada 2009 selain Pengerusi Biro Publisiti dan Penerangan BN pada 2012.

Ahmad juga ketika ini menjawat jawatan Timbalan Menteri termasuk Timbalan Menteri Kewangan I selain pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan dan Industri Antarabangsa I (2015-2018), Timbalan Menteri Kewangan II (2013-2015) dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (2009-2013).

Seramai 690 perwakilan daripada 117 cawangan Umno Pontian akan mengundi hari ini bagi menentu kepimpinan baharu Umno Bahagian Pontian termasuk Ketua Bahagian serta pimpinan pusat membabitkan jawatan Naib Presiden dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

Disiarkan pada: March 18, 2023 @ 10:47am
d