mutakhir

Perak tunggu keputusan MAIPk isu program 'Jom Ziarah Gereja' [METROTV]

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Lenggong: Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad menegaskan kapasitinya sebagai Exco Agama Islam negeri tidak boleh sewenangnya membuat keputusan mengenai isu Program 'Jom Ziarah Gereja' yang menjadi kontroversi mutakhir ini.

Beliau berkata, sebaliknya sebarang keputusan mengenainya termasuk mengarahkan agensi berkaitan menguatkuasakan arahan terutama melalui pekeliling adalah atas dasar keputusan secara bersama oleh jawatankuasa dalam Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

"Menteri Besar tidak boleh mudah-mudah buat pekeliling atau arahan kerana hal ehwal agama Islam di Perak ini kita serahkan dan rujuk kepada jawatankuasa MAIPk. Apa juga keputusan dan arahan serta pekeliling yang dikeluarkan MAIPk, kita patuh.

"Dalam (jawatankuasa) MAIPk kita ada Mufti, ulama, pakar undang-undang sama ada sivil mahupun syariah, pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) mahupun bekas Ketua Hakim Mahkamah Tinggi di Perak. Jadi keputusan yang dibuat itu biasanya adalah yang terbaik kerana dibuat oleh orang-orang berilmu dalam agama Islam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lenggong di Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Lenggong di sini, hari ini.

Saarani berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan negeri tidak membenarkan pelaksanaan program inisiatif di bawah 'Projek Artikel 11' diterajui Impact Malaysia sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bernaung di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Perak, atau sebaliknya.

Negeri Selangor antaranya, melalui Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menerusi Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof mempersoalkan mengapa risalah dan iklan Projek Artikel 11 Jom Ziarah masih belum dipinda sekiranya program itu hanya dikhaskan kepada bukan Islam.

Baru-baru ini, sebuah portal media tempatan melaporkan Impact Malaysia menganjurkan program Projek Artikel 11: 'Ziarah Gereja', yang mempelawa belia bukan Kristian untuk menyertai program itu.

Bagaimanapun, program itu yang dijadualkan berlangsung hari ini di Gereja The Church of Our Lady of Lourdes, Klang, Selangor, dibatalkan oleh penganjur susulan keputusan terbaharu Menteri KBS, Hannah Yeoh di Parlimen, baru-baru ini.

Disiarkan pada: March 18, 2023 @ 1:04pm
d