mutakhir

Firasat saya kuat abang Hizairi dirompak - Adik

Oleh Latifah Arifin

Kuala Lumpur: Keluarga penulis prolifik, Hizairi Othman masih meneruskan pencarian, walaupun kehilangannya sudah mencecah lebih dua dekad.

Dalam catatan di Facebook, adik Hizairi, Haizulsyam Othman, berkata pelbagai ikhtiar sudah diusahakan, termasuk mencari sehingga ke bilik mayat.

"Yang ini tak banyak orang tahu. Arwah ayah (sasterawan tanah air, Dr Othman Puteh) senyap-senyap hantar (saya) ke hospital dengan misi ini. Trauma dibuatnya bila tatap muka orang mati dengan pelbagai gaya.

"Saya laporkan pada arwah ayah 'summary' (rumusan) sahaja, 'yes or no'. Kita tak nak panjang-panjang cerita. Tapi bertahun jugalah tidur saya tak lena," katanya seperti dilapor BH Online.

Beliau menulis catatan itu sebagai mengenang peristiwa abang sulungnya, Hizairi yang dilaporkan hilang secara mengejut pada 15 Mac 2001.

Satu-satunya petunjuk yang ada, kereta milik Hizairi yang juga pensyarah di Universiti Putra Malaysia (UPM) yang ditemui ditinggalkan di sebuah taman rekreasi di Kajang.

Mengulas lanjut, Hizairi berkata, misi mencari abangnya itu bukan satu kerja mudah, malah hampir seluruh pelosok negeri dijelajah bagi tujuan berkenaan.

"Pernah saya duduk 10 hari di Johor kerana mencari dia. Setiap hari saya masuk ladang kelapa sawit. Setiap lorong tanah merah satu persatu. Ada maklumat mengatakan yang dia bersembunyi, disembunyikan, malah tersembunyi di situ.

"Tanya orang alim? Ya, saya pun ada juga ikut jumpa lima hingga enam orang alim yang juga nama besar negara kita. Saya juga ada jumpa beberapa belas orang lagi yang dikatakan alim. Jumpa bomoh? Pencarian seperti ini memang tak dapat tidak, lambat laun pasti akan membabitkan mereka," katanya.

Malah, katanya, pihak keluarga turut mengupah penyiasat persendirian. Namun, usaha itu juga tidak membuahkan hasil.

"Ini yang saya buat selama tiga tahun (pertama selepas Hizairi hilang), sampai lupakan keluarga sendiri. Selepas ayah meninggal (Allahyarham Dr Othman Puteh), beransur kurang misi (pencarian). Tapi, ya.. setiap tahun mesti ada juga misi dan urusan untuk diselesaikan," katanya.

Mengulas mengenai pelbagai 'teori' dikaitkan dengan misteri kehilangan abangnya, beliau berkata, firasatnya kuat mengatakan Hizairi dirompak.

"Secara peribadi, pada malam (Hizairi hilang), dia sebenarnya dirompak. Dia dibawa ke mesin ATM untuk keluarkan duit. Tetapi selepas dua kali keluarkan duit, dia mungkin melawan. Apa yang berlaku seterusnya, cuma tuhan yang tahu," katanya.

Selepas 22 tahun, misteri kehilangan Hizairi masih belum terungkai.

Jika Hizairi yang juga anak sulung sasterawan tanah air, Allahyarham Dr Othman Puteh itu masih hidup, usianya kini sudah mencecah 53 tahun.

Disiarkan pada: March 18, 2023 @ 8:01pm
d