mutakhir

Ahmad Bashah cipta kejutan

Oleh M Hifzuddin Ikhsan

Alor Setar: Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mencipta kejutan dalam penampilan semulanya apabila menang jawatan Ketua Umno Bahagian Alor Setar dalam pemilihan parti hari ini.

Keputusan tidak rasmi setakat jam 8 malam, menyaksikan Ahmad Bashah menang selepas meraih 306 undi berbanding lawannya, Zambri Mat yang juga bekas Timbalan Ketua Umno Bahagian Alor Setar, yang meraih 141 undi.

Turut dilaporkan menang adalah anak kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Mohd Nazifuddin Najib yang menewaskan lawannya, Nor Saidi Nanyan, bagi jawatan Ketua Umno Bahagian Langkawi.

Dalam pemilihan yang berlangsung sengit, Nazifuddin menang majoriti 12 undi selepas meraih 245 undi berbanding Saidi yang mendapat 234 undi.

Bagaimanapun cubaan bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Johari Baharom mencipta kejutan di Kubang Pasu, gagal apabila tewas kepada penyandang jawatan Ketua Bahagian itu, Datuk Aminuddin Omar.

Bekas Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim turut menang jawatan Ketua Umno Bahagian Baling selain bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom turut menang di Jerai.

Disiarkan pada: March 18, 2023 @ 9:22pm
d