mutakhir

Pemilihan Umno Bahagian Johor Bahru ditangguh, digantung [METROTV]

Oleh Izz Laily Hussein

Johor Bahru : Proses pemilihan Umno Bahagian Johor Bahru ditangguh dan digantung selepas berlaku dakwaan bahawa kertas undi melebihi daripada jumlah perwakilan yang hadir.

Keputusan itu dibuat Pengerusi Tetap Umno Bahagian Johor Bahru, Azmi Samin susulan dakwaan itu selepas dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno (JPU) Bahagian Johor Bahru, Sonawan Mad Som.

Menurut Azmi, perkara itu akan diserahkan kepada JPU Pusat untuk menjalankan siasatan lanjut sebelum membuat sebarang keputusan bagi pemilihan semula.

"Ini adalah keputusan muktamad. Jumlah kehadiran yang diumumkan pagi tadi adalah 523 perwakilan.

"Apa yang patut saya dapat adalah umumkan keputusan pemilihan Umno Bahagian Johor Bahru, jadi pada dasarnya, logiknya adalah bila pendaftaran perwakilan 523 dan kertas undi itu melebihi daripada perwakilan itu satu permasalahan jadi susah nak jelaskan lebih terang dan lanjut.

"Apa yang saya boleh buat adalah tangguhkan dan saya gantung pemilihan kali ini dan proses seterusnya akan diadili oleh JPU Pusat yang akan dimaklumkan kepada JPU Bahagian Johor Bahru, jadi kita tunggu siasatan dibuat dan kita akan maklum keputusan dari semasa ke semasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan penangguhan dan penggantungan itu selepas sesi kiraan undi selesai dibuat pada jam 10.15 malam tadi.

Sementara itu, Sonawan berkata, pihaknya percaya kemungkinan berlaku kesilapan ketika pendaftaran kerana yakin tiada petugasnya yang melakukan sebarang salah laku.

"Mengenai isu yang dibangkitkan, isunya adalah jumlah perwakilan itu berbeza dengan kertas undi yang dikira tadi.

"Apabila dibuat pengiraan, kami juga amat terkejut bagaimana ini berlaku (kertas undi lebih) kalau setakat lima, enam keping, saya tidak terperanjat, tetapi bila sampai berpuluh, sedangkan kita cukup-cukup jaga kertas undi ini, tak boleh dicuri atau sabotaj.

"Tetapi, mungkinlah juga yang diumumkan (kehadiran perwakilan) tidak sama semasa pendaftaran. Ini boleh disemak balik. Kami dan petugas, saya berani sebut, tiada seorang pun yang lakukan salah laku," katanya.

Pemilihan Umno Bahagian Johor Bahru menjadi perhatian apabila penyandang jawatan Ketua Umno Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abd Samad mengumumkan tidak bertanding pada pemilihan kali ini.

Jawatan Ketua Bahagian itu menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Naib Ketua Pemuda Umno, Mohd Hairi Mad Shah dan bekas Timbalan Ketua Umno Bahagian Johor Bahru, Datuk Yahya Jaafar.

Terdahulu, jawatan Ketua Umno Bahagian Johor Bahru dipegang Shahrir sejak 1978, namun kemudian beliau pernah digantung Umno kira-kira tiga penggal, sebelum kembali diberikan kepercayaan oleh perwakilan bahagian itu untuk memegang jawatan berkenaan sehingga 2023.

Minggu lalu, jawatan Ketua Wanita Bahagian kekal milik Saadiah Hussin; Ketua Pemuda Bahagian pula dimenangi Muhamad Farid Mohd Firuz, manakala Ketua Puteri Bahagian dipegang Marliana Abdul Hamid.

Disiarkan pada: March 18, 2023 @ 10:39pm
d