mutakhir

Nelayan dikhuatiri lemas ketika uji bot

Oleh Faizul Azlan Razak

Setiu: Seorang nelayan dikhuatiri lemas ketika sedang menguji bot gentian kaca berhampiran jeti pengkalan bot Kampung Baru Penarik, di sini, malam tadi.

Mahamad Harun, 63, yang menetap di kampung itu tidak pulang ke rumah selepas turun ke sungai untuk menguji bot gentian kaca pada jam 7 malam.

Ketua Polis Daerah Setiu Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, pihaknya menerima laporan daripada isteri mangsa yang memaklumkan suaminya tidak pulang ke rumah dan dikhuatiri lemas.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat daripada seorang saksi yang juga penduduk kampung menyatakan melihat mangsa menghala ke Kampung Mangkuk sambil membuang air dari dalam bot.

"Hasil pencarian yang dilakukan penduduk kampung menemui bot di kawasan paya bakau kira-kira 650 meter dari jeti dan mendapati mangsa tiada dalam bot.

"Kita mula melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) disertai polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan penduduk kampung bermula malam tadi," katanya yang ditemui di lokasi kejadian, di sini, hari ini.

Afandi berkata, seorang saksi yang melihat mangsa dari jarak 100 meter menyatakan botnya berpusing dan menuju ke seberang sungai.

"Saksi tidak mengesyaki bot mangsa bermasalah dan saksi terus balik ke rumah memandangkan cuaca hampir gelap," katanya.

Afandi berkata, pihaknya juga mendapatkan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) bomba bagi mengesan mangsa.

"Usaha dan menyelamat giat dilakukan dengan fokus pencarian terarah ke arah muara.

"Saya menasihatkan nelayan supaya mengutamakan keselamatan dengan memakai jaket keselamatan apabila mahu menjalankan aktiviti sama ada di sungai atau laut," katanya.

Disiarkan pada: March 19, 2023 @ 12:09pm
d