mutakhir

Alhamdulillah, kesihatan Ustaz Azhar Idrus makin pulih

Oleh Zaid Salim

Kuala Terengganu: Keadaan kesihatan penceramah, Ustaz Azhar Idrus (UAI) yang dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, Selasa lalu, dilaporkan semakin baik.

Bagaimanapun, beliau masih ditempatkan di hospital berkenaan kerana memerlukan rawatan lanjut.

Jurucakap Pertubuhan Fisabilillah Terengganu berkata, walaupun keadaan kesihatan UAI semakin baik namun masih memerlukan rawatan lanjut.

Difahamkan, buat masa ini, UAI dikatakan tidak mahu menerima sebarang kunjungan tetamu daripada mana-mana pihak kecuali ahli keluarga dipercayai kurang selesa selain mahu berehat.

Katanya, UAI yang juga Penaung Pertubuhan Fisabilillah Terengganu dimasukkan ke HSNZ pada tengah hari Selasa lalu kerana batuk dan lelah.

Menurutnya, disebabkan batuk yang dialaminya berterusan sehingga dikatakan mengganggu keselesaan ketika menyampaikan kuliah, beliau kemudian ke hospital bagi melakukan pemeriksaan sebelum dimasukkan ke wad.

"Saya tidak pasti sama ada UAI menghidap masalah paru-paru dan penyakit lain.

"Menurut isteri dan anaknya, UAI dimasukkan ke hospital kerana batuk dan lelah.

"UAI yang masih memerlukan rawatan sudah dipindahkan ke wad kelas pertama HSNZ dan mohon sama-sama doakan agar Al-Fadhil Ustaz diberi kesembuhan dan kesihatan," katanya.

Berikutan itu juga beberapa ceramah dan kuliah yang sepatutnya dihadiri UAI terpaksa dibatalkan.

Disiarkan pada: March 19, 2023 @ 3:30pm
d