mutakhir

Lebuhraya Pasir Gudang rosak akibat kenderaan lebih muatan, kerja pengorekan

Oleh Mohamed Farid Noh

Iskandar Puteri: Kenderaan berat lebih muatan dan kekerapan kerja pengalihan utiliti termasuk paip saluran air antara faktor utama Lebuhraya Pasir Gudang, kerap mengalami isu kerosakan teruk.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor Mohd Fazli Mohd Salleh berkata, laluan sepanjang kira-kira 38 kilometer (km) itu dibina bagi menampung kegunaan kenderaan berat sehingga 30 tan.

Namun, katanya, lori muatan berat melebihi 60 tan kini dilaporkan kerap menggunakan laluan Lebuhraya Pasir Gudang, yang menjadi laluan utama ke kawasan perindustrian dan pelabuhan.

"Membaiki jalan bukan satu-satunya langkah penyelesaian kerosakan jalan yang kerap berlaku di Lebuhraya Pasir Gudang.

"Saya sudah bertemu dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), (dan melaporkan) lori muatan lebih 60 tan dikenal pasti kerap menggunakan laluan lebuh raya itu," katanya pada sidang media di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini.

Khamis lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dilaporkan berharap kerajaan Persekutuan dapat memberikan peruntukan bagi pembaikan jalan yang rosak dan berlubang di Lebuhraya Pasir Gudang.

"Saya berharap supaya peruntukan pembaikan jalan Persekutuan disalurkan untuk membaiki laluan Lebuhraya Pasir Gudang dan Jalan Johor Bahru-Mersing yang berlubang dan amat membahayakan pengguna jalan raya.

"Habis rim kereta saya pun bengkok," titah baginda ketika merasmikan pembukaan Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Khamis lalu.

Dalam pada itu, Mohd Fazli berkata perbincangan sedang dilakukan bersama Koridor Utiliti Johor (KUJ) bagi mencari kaedah yang lebih sesuai mengelak kerja pengorekan utiliti di kawasan jalan raya berulang.

"Apabila banyak kerja utiliti seperti kabel elektrik, saluran air dan talian telefon dilakukan, maka pengorekan jalan perlu dilaksanakan di bahu jalan. Ia secara tidak langsung akan mengganggu struktur tanah di tengah jalan.

"Kos terbesar kerja pelebaran jalan Lebuhraya Pasir Gudang kepada tiga lorong bernilai RM75 juta yang kini sedang dilaksanakan, membabitkan pengalihan utiliti," katanya.

Disiarkan pada: March 19, 2023 @ 3:44pm
d