mutakhir

Khianat kereta pengarah dan penulis skrip Mentega Terbang, polis rakam keterangan 3 individu

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Tiga individu dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes khianat ke atas kenderaan milik dua kru penerbitan filem Mentega Terbang pada 16 Mac lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dua individu yang dirakam keterangan adalah pemilik dua kenderaan yang terjejas dalam kejadian itu.

"Seorang lagi individu yang dirakam keterangan adalah pengawal keselamatan bertugas ketika kejadian yang berlaku di Kajang.

"Bagaimanapun, siasatan buat masa ini belum menunjukkan sebarang perkembangan positif dan pihak polis masih meneruskan siasatan," katanya kepada ketika dihubungi, hari ini.

Beliau turut memohon mana-mana saksi atau mereka yang mempunyai maklumat tampil bagi membantu siasatan.

Sebelum ini, media melaporkan polis menerima dua laporan dibuat pengadu berlainan membabitkan dua kejadian berbeza.

Hussein dilaporkan berkata, kejadian pertama berlaku di tempat letak kereta terbuka di Taman Dagang Jaya di Ampang jam 6.30 pagi dengan pengadu memaklumkan Proton Saga disimbah cat selain menemui helaian kertas nota ditinggalkan berdekatan dengan kereta.

Katanya, helaian nota ditinggalkan suspek itu mengandungi tulisan berunsur ugutan jenayah terhadap nyawa pengadu.

Kejadian kedua pula berlaku jam 3.15 pagi di Kajang dan pengadu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) yang memaklumkan kenderaannya dibaling plastik lutsinar berisi cecair cat.

Menurutnya, pengadu turut menemui satu sampul surat warna putih yang ditulis perkataan berunsur ugutan jenayah dan menerima mesej berunsur ugutan jenayah terhadap diri dan keluarga melalui telefon.

Kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan iaitu ugutan jenayah dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas perbuatan khianat.

Terdahulu, media melaporkan kenderaan milik Khairi Anwar Jailani dan Arjun Thanaraju yang juga pengarah dan penulis skrip Mentega Terbang disimbah cat dan asid.

Turut tular foto lima keping nota termasuk ugutan bunuh selain dua kereta milik mangsa dengan kesan simbahan asid dan cat.

Disiarkan pada: March 19, 2023 @ 3:56pm
d