mutakhir

Tengku Zafrul berdebar tunggu keputusan rasmi jawatan MKT

Oleh Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Ketua Umno Bahagian Kota Raja, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengaku berdebar menunggu keputusan rasmi Pemilihan Umno 2023-2026 bagi jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu berkata, berdasarkan keputusan tidak rasmi, beliau termasuk sebagai salah seorang yang terpilih.

"Berdebar juga kerana ini kali pertama saya bertanding. Di peringkat ketua bahagian, saya menang tanpa bertanding.

"Di peringkat MKT, ini kali pertama saya bertanding memanglah berdebar.

"Tapi Alhamdulillah, setakat ini keputusan tak rasmi saya dapat 25 teratas," katanya ketika ditemui pemberita di Menara Dato Onn, di sini, hari ini.

Sehingga 12 tengah hari tadi, keputusan menunjukkan Tengku Zafrul berada di kedudukan ketiga bagi jawatan itu.

Beliau memperoleh 149 undi berada di belakang Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah yang mendahului saingan dengan meraih 156 undi, diikuti Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang meraih 153.

Disiarkan pada: March 19, 2023 @ 4:02pm
d