mutakhir

Ketua Umno Bahagian: 54 muka baharu, 133 muka lama

Oleh Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Seramai 54 daripada 187 Ketua Umno Bahagian adalah terdiri daripada muka baharu selepas parti itu mengadakan sesi pemilihan 2023-2026.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno (JPU) Tan Sri Shahrir Samad berkata, daripada statistik, Johor memperoleh jumlah tertinggi muka baharu dengan 10 orang.

Katanya, ia diikuti Wilayah Persekutuan (enam), Selangor (enam) manakala Kedah, Kelantan dan Pahang masing-masing lima.

"Kemudian Perak (empat), Melaka (tiga), Perlis (tiga), Terengganu (tiga), Pulau Pinang (dua) dan Sabah kita belum pasti," katanya pada sidang media di Menara Dato' Onn, di sini, hari ini.

Shahrir berkata, perubahan kepimpinan Ketua Bahagian ini menunjukkan dinamik perubahan politik Umno apabila mengadakan pemilihan parti.

Menyentuh mengenai mesej pemilihan Umno, beliau berkata, pihaknya melihat penggunaan media sosial merupakan satu cara bagi mendekati ahli parti.

"Kehadiran dalam media sosial itu penting," katanya.

Beliau berkata, JPU juga telah membuat perubahan dengan membenarkan penggunaan media sosial bagi tujuan menyokong mereka yang bertanding.

"Hanya dari segi memfitnah, menghina atau mengkritik tidak dibenarkan. Masih menjadi kesalahan di bawah tata etika Umno," katanya.

Disiarkan pada: March 19, 2023 @ 4:15pm
d