mutakhir

Bayaran insentif menyelam dinaikkan RM200 berkuat kuasa serta merta [METROTV]

Oleh Nor Amalina Alias

Bachok: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan kenaikan Bayaran Insentif Menyelam (BIM) RM200 kepada Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkuat kuasa serta merta.

Menterinya,Nga Kor Ming berkata, kenaikan sekali ganda berbanding RM100 sebelum ini itu bagi memperkasa pasukan penyelam yang berperanan penting dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa lemas.

Katanya, sehingga kini terdapat 628 PPDA ditempatkan di 46 balai bomba seluruh negara.

"Tahun lalu, JBPM merekodkan seramai 255 mangsa meninggal dunia akibat lemas.

"Walaupun menunjukkan penurunan sebanyak 17 peratus berbanding tahun lalu, namun angka itu masih tinggi," katanya ketika ditemui di majlis Pelancaran Majlis Keselamatan Aktiviti Di Air (MKAA) di Pantai Senok di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KPKT, Datuk M Noor Azman Taib, Ketua Pengarah JBBPM Negeri Kelantan, Jainal@Zainal Madasin dan Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman.

Beliau berkata,kementerian menerusi MKAA dan kempen keselamatan di air berusaha untuk kurangkan kes kemalangan terutamanya kematian di kawasan rekreasi air seperti kawasan air terjun, pantai, cerun bukit, sungai dan bukit.

Nga berkata, pengambilan lebih ramai Pasukan Bomba Bantuan (PBB) Safety Water and Rescue Team (SWART) wajar dilakukan khususnya di negeri berisiko banjir besar serta mempunyai kadar kes lemas yang tinggi.

"Sehingga kini, kita mempunyai 36 pegawai SWART, iaitu hanya 1.7 peratus daripada keseluruhan anggota PPDA," katanya.

Disiarkan pada: March 19, 2023 @ 4:41pm
d