mutakhir

Nahas bongkar penemuan daun ketum

Oleh Ahmad Hasbi

Seremban: Mengejutkan apabila sejumlah daun ketum ditemui berselerakan di lokasi kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Bukit Putus, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.50 pagi itu, kereta Proton Waja dipandu seorang lelaki berusia 38 tahun dari arah Seremban ke Kuala Pilah itu dikatakan bertembung dengan sebuah lori tangki minyak.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, ketika anggota unit kereta peronda (MPV) tiba di lokasi, pemandu Proton Waja sudah dibawa ke hospital manakala pemandu lori tidak mengalami kecederaan.

"Hasil pemeriksaan di dalam Proton Waja kami menemui 16 kg daun ketum dalam empat beg plastik dan sebuah beg berwana merah jambu.

"Semua daun ketum dirampas untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Nanda berkata, pemandu Proton Waja berkenaan mengalami kecederaan parah dan kini dirawat di zon merah Hospital Tuanku Jaafar (HTJ).

"Ketika ini polis belum mengenalpasti identiti sebenar lelaki berkenaan kerana dia masih dirawat. Bagaimanapun, kes ini disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952," katanya.

Terdahulu tular di media sosial satu rakaman yang memaparkan kejadian kemalangan berkenaan, bagaimanapun, kelihatan daun ketum berselerakan di atas jalan dipercayai daripada salah sebuah kenderaan yang terbabit insiden itu.

Sementara itu, Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Mohd Syazwan Saidy berkata, kemalangan itu turut membabitkan sebuah motosikal dan kereta jenis Honda City.

"Pemandu Honda City, seorang lelaki berusia 37 tahun tidak mengalami kecederaan. Manakala penunggang motosikal jenis Yamaha NMAX seorang lelaki berusia 33 tahun patah tangan kanan," katanya.

Disiarkan pada: March 19, 2023 @ 5:13pm
d