mutakhir

Jalaluddin bakal MB Negeri Sembilan?

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

Jelebu: Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan tidak lama lagi menimbulkan pelbagai spekulasi di Negeri Sembilan terutama membabitkan jawatan Menteri Besar.

Ketika ini timbul khabar angin menyatakan Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias bakal dilantik menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan yang baru sekiranya Barisan Nasional (BN) mendominasi PRN.

Ada yang berpandangan Jalaluddin mungkin akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Lui yang ketika ini disandang Mohd Razi Mohd Ali.

Mohd Razi adalah Timbalan Ketua Umno Bahagian Jelebu dan dikatakan sedia memberi laluan kepada Jalaluddin sekiranya diarahkan berbuat demikian.

Bagaimanapun sehingga hari ini belum ada kata putus daripada Pakatan Harapan (PH) dan BN mengenai pengagihan kerusi selain memuktamadkan siapa Menteri Besar Negeri Sembilan sekiranya gabungan itu menang di negeri ini.

Desas-desus itu timbul berikutan Jalaluddin dilihat memiliki kelebihan kerana pernah menjadikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) selama dua penggal, Exco kerajaan negeri selain mempunyai pengalaman sebagai pengerusi syarikat berkaitan kerajaan dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan.

Jalaluddin antara Ketua Bahagian Umno di negeri ini yang mengekalkan jawatan apabila menang tanpa bertanding pada pemilihan kali ini.

Sementara itu, ditanya mengenai desas-desus itu ketika ditemui di Kompleks Umno Jelebu, semalam, Jalaluddin hanya menjawab ringkas: 'No komen'.

Disiarkan pada: March 19, 2023 @ 5:36pm
d