mutakhir

Pelancong Singapura parah, van persiaran dirempuh bas

Oleh Ahmad Ismail

Muar: Pelancong Singapura parah, manakala 11 yang lain cedera ringan selepas van persiaran dinaiki terbabit kemalangan dengan tiga kenderaan di Kilometer (KM) 139.9 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan di Pagoh, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, dalam kejadian 5.15 petang itu, kemalangan membabitkan masing-masing sebuah bas ekspres dan van persiaran serta dua kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda HR-V dan Mazda CX-30.

Katanya, kemalangan dipercayai berlaku apabila bas dalam perjalanan dari Melaka ke Johor Bahru yang berada di lorong kiri merempuh sebuah van persiaran di hadapannya sebelum kenderaan itu melanggar kereta Mazda dinaiki dua individu.

"Apabila rempuhan berlaku, kereta Mazda berkenaan turut melanggar sebuah lagi kenderaan lain di hadapannya menyebabkan keseluruhan empat kenderaan terbabit dalam nahas itu.

"Kesemua mangsa cedera adalah warga Singapura yang menaiki van persiaran manakala 28 penumpang bas ekspres tidak tercedera kecuali pemandu yang cedera ringan,"katanya ketika dihubungi di sini.

Katanya, pihak polis menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Fadli Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan pada 5.23 petang sebelum sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) membantu mengeluarkan empat mangsa yang terperangkap di dalam van persiaran.

"Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Muar dengan menggunakan ambulan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) serta ambulans milik Kementerian Kesihatan (KKM),"katanya.

Disiarkan pada: March 20, 2023 @ 12:06am
d