mutakhir

'Saya makan bufet Ramadan sebagai cara menghargai diri'

Oleh Mahaizura Abd Malik dan Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: Berbuka puasa dengan mengeluarkan perbelanjaan untuk menikmati bufet Ramadan sama ada di hotel atau restoran dianggap sebagai kaedah untuk menghargai diri dan insan tersayang sempena ketibaan bulan mulia ini.

Malah, berbuka puasa di luar setiap kali Ramadan juga sudah menjadi amalan atau trend masyarakat negara ini sejak sekian lama dengan pemilihan tempat serta harga makanan mengikut 'poket' masing-masing.

Penjawat awam, Subian Rosli, 35, berkata, dia dan suami tidak pernah berkira untuk makanan serta mengakui setiap perbelanjaan diatur lebih awal untuk peruntukan yang dihajati.

Menurutnya, dia tidak beranggapan berbuka puasa di luar dengan mengambil pakej buffet Ramadan adalah sesuatu yang membazir kerana pilihan berada di tangan masing-masing untuk mencari harga terbaik.

"Setiap individu mempunyai pilihan berbeza dan kita tidak boleh pukul rata. Secara kebetulan saya dan suami bekerja, jadi kami berkongsi wang untuk belanja diri sendiri dengan pilihan terbaik.

"Tidak salah jika kami yang sememangnya suka makan memilih bufet Ramadan untuk berbuka puasa jika mempunyai rezeki lebih, lagipun untuk makan saya memang tidak berkira asalkan berbaloi.

"Saya memilih berbuka puasa dengan pakej buffet Ramadan sejak bekerja lapan tahun lalu dan ia adalah cara untuk menghargai diri selain menggembirakan anak serta isteri," katanya.

Katanya, pelbagai tawaran bufet Ramadan disediakan, namun dia memilih untuk mengikut dan tidak rasa terbeban.

Bagi Amira Shuhaimi, 33, untuk pakej berharga RM100 hingga RM150 masih dianggap berbaloi mengikut beberapa faktor termasuk lokasi dan tawaran pilihan makanan yang disediakan.

Menurutnya, selepas penat berkerja lima hari seminggu, dia akan mencari masa pada hujung minggu untuk merehatkan dan 'melayani' dirinya dengan makanan enak serta suasana tenang.

"Bagi saya belanja lebih untuk beberapa hari dalam bulan Ramadan yang datang setahun sekali tidak menjadi masalah asalkan kita memang ada duit lebih dan ia tidak mengganggu perbelanjaan lain," katanya.

Menurut Amira, pada hari bekerja dia biasanya membeli juadah berbuka di bazar Ramadan atau memasak hidangan sederhana kerana kekangan waktu berkerja.

"Hujung minggu adalah hari untuk kita meluangkan masa bersama tersayang dan berehat daripada kerja dan memasak. Jadi dengan makan buffet di luar, itu adalah cara untuk suami beri isteri rehat.

"Suasana Ramadan dan hari biasa, berbeza. Jadi apabila ada masa cuti tak salah kalau kita berbuka bersama insan tersayang dan rakan di luar selain bertukar selera sekali gus mencipta suasana berbeza dan memori indah" katanya.

Disiarkan pada: March 20, 2023 @ 7:00am
d